MUNGKIN ramai yang tidak tahu, fobia tandas atau toilet anxiety merupakan sejenis gangguan kebimbangan.
Ia turut dikenali sebagai gangguan kebimbangan usus dan pundi kencing yang boleh muncul dalam pelbagai cara.
Bagi sesetengah individu, mereka mungkin mempunyai kebimbangan seperti takut untuk menggunakan tandas awam.
Ada juga individu yang takut tidak mempunyai akses kepada tandas apabila berada di tempat awam atau di dalam pengangkutan awam.
Dianggarkan sekitar 15 hingga 35 peratus daripada populasi mengalami 'kebimbangan tandas' pada tahap tertentu.
Paruresis (dikenali sebagai sindrom pundi kencing pemalu) pula adalah keadaan yang mana seseorang sukar untuk membuang air kecil.
Kesan fobia tandas sangat besar terhadap kesihatan mental seseorang. -Gambar hiasan AI
Ia merupakan fobia sosial kedua paling biasa selepas ketakutan untuk bercakap di khalayak.
Parcopresis (atau sindrom usus pemalu) pula ialah ketakutan untuk membuang air besar di tempat awam, dan biasanya mempunyai kaitan dengan stigma bunyi dan bau.
Selain masalah usus dan pundi kencing pemalu, satu lagi bentuk fobia tandas yang biasa ialah takut akan keperluan menggunakan tandas di tempat awam.
Mereka yang mengalami kebimbangan jenis ini sering mempunyai masalah kesihatan asas seperti penyakit radang usus (inflammatory bowel disease, IBD) atau pundi kencing terlalu aktif (overactive bladder, OAB).
Individu dengan kebimbangan ini mungkin merancang aktiviti harian berdasarkan lokasi tandas terdekat, malah mungkin mengelak keluar rumah jika merasakan mereka tidak akan dapat menemui tandas apabila diperlukan.
Kesan fobia tandas terhadap kesihatan mental adalah besar dan boleh menghalang seseorang daripada menjalani kehidupan secara bermakna.
Ketakutan ini yang nyata boleh menguasai kehidupan sosial seseorang, sehingga menyebabkan serangan panik, pengasingan diri, kemurungan, dan berpotensi mengakibatkan agorafobia (takut untuk keluar rumah).