suria

Lebih 30 tahun meninggal dunia, harta pengasas Walmart masih tak habis makan! Anak cucu jadi waris terkaya atas muka bumi

Sam (dua dari kiri) meninggal dunia pada 1992. -Foto Walmart

PENGASAS Walmart, Sam Walton meninggal dunia lebih 30 tahun lalu, namun syarikat peruncit gergasi yang diasaskannya terus berkembang pesat sehingga ke hari ini.

Sam Walton meninggal dunia akibat kanser ketika berusia 74 tahun pada 5 April 1992.

Kini pewarisnya dinamakan sebagai keluarga terkaya di dunia oleh Bloomberg, dengan jumlah kekayaan bersih sebanyak AS$432.4 bilion (RM1.948 trillion)

Pewaris

1. Rob Walton (anak sulung)

2. Jim Walton (anak kedua)

3. John T. Walton (anak ketiga, maut nahas pesawat pada 2005)

4. Alice Walton (satu-satunya anak perempuan keluarga itu)

Selain tiga anaknya yang masih hidup, isteri kepada mendiang John iaitu Christy dan anaknya, Lukas turut dinamakan sebagai pewaris harta.

Adik kepada Sam Walton iaitu Bud Walton mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Ann Walton Kroenke dan Nancy Walton Laurie yang mana mereka turut dinamakan sebagai pewaris.

Ini kerana Bud merupakan pengasas bersama Walmart.

Untuk rekod, Bud pula meninggal dunia pada 1995.

walmart 1

Walmart kini dikenali sebagai syarikat peruncit gergasi. -Foto Instagram Walmart

Kejayaan Walmart

Sebagai sebuah dinasti yang sudah berkuasa, tiga anak Walton yang masih hidup dan keturunan mereka menjadi keluarga terkaya pada tahun 2024 hasil daripada pegangan dalam Walmart.

Pertumbuhan e-dagang yang stabil dan usaha mengekalkan harga rendah di tengah-tengah inflasi meletakkan saham Walmart di landasan untuk mencatatkan tahun terbaik dalam beberapa dekad, lapor Reuters.

Rangkaian peruncitan itu juga berjaya mengatasi pesaing seperti Target, dengan menarik pelanggan kaya melalui barisan produk pereka.

Faktor-faktor ini menambah berbilion dolar kepada kekayaan bersih keluarga Walton dan mengalahkan keluarga bilionair lain termasuk Hermès dan Ambani.

Kekayaan terus meningkat

Anak sulung Sam iaitu Rob pernah menjadi pengerusi Walmart, namun dia bersara daripada jawatan itu serta lembaga pengarah pada awal tahun ini.

Forbes melaporkan kekayaannya melebihi AS$113 bilion (RM508.5 bilion).

Dia kini merupakan pemilik Denver Broncos selepas membeli pasukan itu bersama anak perempuan dan menantunya pada tahun 2022.

Menantu Rob, Greg Penner, kini berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pengarah di Walmart.

Anak kedua Sam iaitu Jim sebelum ini memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Walmart dan kini menjadi pengerusi Kumpulan Arvest Bank.

Jim mempunyai kekayaan serupa sekitar AS$112 bilion (RM504 bilion).

Alice pula memiliki nilai kekayaan AS$104 bilion (RM466 bilion), membina reputasi atas kecintaannya terhadap seni dan sumbangan dana kepada bidang tersebut.

Dia turut dinamakan sebagai wanita terkaya di dunia pada September lalu apabila saham Walmart melonjak naik.

Artikel Lain