PERCUBAAN pertama yang menjadi!
Itulah ungkapan bagi menggambarkan kejayaan UTM Rocketry dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila berjaya melayakkan diri ke International Rocket Engineering Competition 2025 (IREC 2025) yang bakal berlangsung di New Mexico, Amerika Syarikat pada Jun depan.
Apa yang membanggakan, UTM Rocketry merupakan salah satu daripada dua pasukan terbaik Malaysia yang terpilih ke pertandingan tersebut termasuklah wakil dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Lebih manis, kejayaan itu juga merupakan pencapaian pertama dan paling membanggakan yang pernah dikecapi dalam bidang kejuruteraan roket sejak pasukan itu ditubuhkan kira-kira lapan bulan lalu.
Berkongsi kisah perjalanan mereka bersama mStar, pengarahnya iaitu Arykummara A/L Thava Kumar mengakui dia dan pasukannya tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi memandangkan mereka berdepan pelbagai kesukaran pada peringkat awal.
Namun, berkat usaha dan kerja keras semua anggota bersengkang mata menyiapkan rekaan roket selama berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dapat melepasi peringkat kelayakan.
Setiap anggota memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan ke IREC 2025.
"IREC ini merupakan pertandingan kejuruteraan roket terbesar di dunia, dan menerima kira-kira 196 penyertaan dari universiti terbaik seluruh dunia.
"Pada awalnya tidak begitu yakin dengan kemampuan kami kerana proses penyertaan awal pun kami rasakan susah, perlu mencipta rekaan roket yang terbaik dahulu sebelum hantar kepada panel untuk kelulusan.
"Terima sahaja berita baik itu, kami rasa sangat lega kerana usaha selama ini berhasil dan pada masa yang sama rasa teruja sebab berpeluang menunjukkan bakat di persada dunia," ujar pemuda berusia 23 tahun ini.
Dengan kekuatan seramai 40 orang anggota, pasukan ini turut menerima bimbingan daripada seorang pensyarah warga Malaysia iaitu Julian Chee yang kini bertugas di Wichita State Universiti, Amerika Syarikat.
Rekaan roket ini merupakan hasil cetusan idea seluruh anggota.
Rimau-1
Bercerita mengenai rekaan roket mereka iaitu Rimau-1, Arykummara memberitahu nama itu diinspirasikan daripada pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) atau Harimau Selatan yang menjadi kebanggaan warga Johor.
Tambahnya, pembikinan rekaan Rimau-1 ini merupakan hasil cetusan idea seluruh anggota pasukan dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti kos, kemudahan dan prestasi roket.
"Nama itu dipilih kerana kami terinspirasi daripada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang juga dikenali sebagai Harimau Selatan memandangkan kampus UTM terletak di Skudai, Johor, jadi ada sedikit identiti Johor dan UTM pada nama roket kami.
"Semua anggota terlibat dalam mereka bentuk dan membina roket ini dan ia direka mengikut kemampuan dan kemudahan yang kami miliki di kampus. Rekaan roket tiada limitasi, jadi kami cuba kurangkan kos dan pada masa yang kekalkan prestasi.
"Saya akui sedikit gemuruh sebab terfikir macam mana jika ia tidak mencapai ketinggian yang ditetapkan tapi perkara itu masih dalam kawalan kami," jelas anak jati Melaka itu.
Memakan kos hampir RM30,000 untuk dibina, Rimau-1 kini dalam fasa pembinaan (fabrication) sejak November tahun lalu bagi persediaan menyertai acara dalam kategori ketinggian altitud 10,000 kaki.
Rimau-1 kini masih dalam proses pembinaan sejak November tahun lalu.
Kejayaan anak Malaysia
Meskipun berdebar menantikan hari pertandingan, salah seorang anggota iaitu Izzat Idlan kekal positif dan berharap agar pencapaian UTM Rocketry ini mampu menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa serta memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar universiti tempatan lain untuk serlahkan potensi diri mereka.
"Gemuruh itu tidak dinafikan, tetapi kami berharap kejayaan kami ini memberi impak agar orang luar dapat melihat yang anak Malaysia juga mampu bersaing di pentas antarbangsa.
"Dan impak itu dapat memberi semangat kepada generasi seterusnya atau mahasiswa di universiti tempatan lain supaya lebih ramai lagi yang akan sertai pertandingan ini untuk tahun yang akan datang," ujar mahasiswa jurusan kejuruteraan mekanikal itu.