suria

Kenali 4 influencer paling kaya di dunia… Tak sangka umur 12 tahun pun dah bergelar jutawan

Mr Beast (kiri) dan Logan Paul menggungguli senarai pempengaruh paling kaya di dunia.

DALAM era digital, kerjaya sebagai pempengaruh media sosial atau influencer menjadi satu sumber pendapatan yang sangat lumayan. 

Mereka yang bijak memanfaatkan peluang ini mampu menjana jutaan ringgit menerusi perkongsian video di YouTube, TikTok dan banyak lagi platform lain.

Namun, influencer yang benar-benar berjaya tidak hanya bergantung kepada video semata-mata. 

Sebaliknya, ramai antara mereka mengembangkan empayar dengan membina perniagaan sendiri bagi menambah pendapatan dan mengukuhkan kerjaya.

Mr Beast turut menjana kekayaan dengan produk makanan sendiri.

Ayuh kita kenali empat influencer yang terkaya di dunia:

1. MrBeast

Anggaran kekayaan: £430 juta (RM2.58 bilion)

Salah seorang influencer paling terkenal di dunia ketika ini ialah MrBeast, atau nama sebenarnya James Donaldson.

Berusia 26 tahun, dia mula memuat naik video ke YouTube ketika berumur 13 tahun, antaranya video permainan serta kandungan yang menganggarkan kekayaan influencer lain.

Selain kerjayanya di alam maya, MrBeast juga mengeluarkan produk makanan sendiri seperti MrBeast Burger, Feastables dan Lunchly.

Logan turut mencipta nama dalam sukan gusti.

2. Logan Paul

Anggaran kekayaan: £117 juta (RM703 juta)

Logan memulakan kerjaya YouTube ketika berusia 10 tahun, namun dia mula terkenal menerusi aplikasi Vine.

Kini, pada usia 30 tahun, Logan beralih ke dunia podcast, perniagaan dan juga gusti profesional.

Felix atau xQc popular melalui kandungan e-sukan.

3. xQc

Anggaran kekayaan: £39 juta (RM234 juta)

xQc, atau nama sebenarnya Felix Lengyel, satu-satunya dalam senarai ini yang tidak membina kekayaannya melalui YouTube atau TikTok. 

Dia mencipta nama di platform Twitch iaitu laman penstriman langsung untuk permainan video.

Berusia 29 tahun, dia dikenali melalui dunia e-sukan, terutamanya permainan Overwatch secara profesional.

Dia kemudiannya beralih sepenuhnya ke Twitch.

Ryan Kaji jadi kegilaan peminat cilik menerusi siri video di YouTube.

4. Ryan Kaji

Anggaran kekayaan: £38 juta (RM228 juta)

Ryan mengumpul kekayaan luar biasa walaupun baru berusia 12 tahun!

Kerjayanya menerusi YouTube bermula pada tahun 2015 menerusi saluran Ryan’s World.

Dia menyajikan kandungan berkaitan kanak-kanak, termasuk vlog peribadi dan video membuka kotak mainan.

Ia menjadi saluran paling tinggi pendapatan di YouTube selama tiga tahun berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

Selepas kejayaan itu, saluran tersebut menandatangani perjanjian dengan PocketWatch, melancarkan barisan mainan sendiri dan pada 2024, menghasilkan filem sendiri berjudul Ryan’s World the Movie: Titan Universe Adventure.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia