suria

[V] Usaha 2 tahun redah hutan berhasil... Beruk kentoi kini dah tak takut terserempak Syamil, lebih dikenali

Syamil meluangkan masa 12 jam sehari selama dua tahun bagi menjejaki beruk kentoi.

SELAMA dua tahun berulang-alik masuk hutan simpan Wang Kelian di Perlis demi mencari beruk kentoi, usaha Syamil Abdul Rahman akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menemui primat unik itu sekitar 2017.

Beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides mempunyai ciri khas berwajah merah, berekor pendek dan apabila meningkat usia bulunya mula gugur selain warna kulit bertukar lebih gelap. 

Tidak seperti primat lain yang gemar bergayut dari pokok ke pokok, beruk kentoi lebih banyak bergerak di atas tanah. 

Menariknya, di Malaysia spesies ini hanya boleh ditemui di Perlis [Tonton Video].

Syamil menghadiahkan gambar beruk kentoi kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan). Syamil menghadiahkan gambar beruk kentoi kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan). 

Syamil yang juga pengasas Perlis Nature Xplorer (PNX), menceritakan bahawa dia meluangkan masa sehingga 12 jam sehari, dua hingga tiga kali seminggu, untuk menjejaki haiwan itu.

Minatnya bermula sejak 2012 selepas terserempak dengan beruk kentoi secara tidak sengaja ketika lalu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, walaupun penemuan awal haiwan ini di Perlis pernah direkodkan sejak 1992, tiada kajian saintifik lanjut dijalankan.

“Saya ada maklumkan kepada pihak tertentu, tapi tiada tindakan. Akhirnya saya buat sendiri bersama seorang rakan. Selepas dia meninggal dunia, saya teruskan seorang diri.

"Alhamdulillah selepas ia tular, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil membantu dan bersama kami hasilkan kertas kajian,” katanya kepada mStar.

Hasil kajian bersama UKM berjaya merekodkan 176 ekor beruk kentoi dan jumlah itu meningkat kepada 201 ekor pada 2021.

Di Malaysia, beruk kentoi hanya terdapat di Perlis dan menjadikan primat itu haiwan yang dilindungi.Di Malaysia, beruk kentoi hanya terdapat di Perlis dan menjadikan primat itu haiwan yang dilindungi.

Pada peringkat awal pencarian sekitar 2016, Syamil banyak bergantung kepada maklumat penduduk tempatan bagi menjejaki habitat haiwan ini yang meliputi kawasan seluas 5,000 hektar. 

"Pemetaan kawasan dibahagikan kepada tujuh zon bagi mengenal pasti corak pergerakan. Kami dapati ada dua kumpulan utama iaitu nomad dan setempat. 

"Kumpulan nomad lebih dominan, mereka akan berpindah mencari makanan setiap dua minggu, khususnya pucuk muda. Apabila pucuk baharu tumbuh, mereka akan kembali ke kawasan itu,” jelasnya.

Menariknya, beruk kentoi di kawasan itu kini sudah mengenali Syamil.

Ketua kumpulan yang digelar alfa tidak lagi takut apabila terserempak dengan Syamil, hasil kekerapannya masuk ke hutan dan merakam aktiviti mereka.

Syamil berasa puas kerana usahanya bukan sahaja memberi data saintifik, malah berjaya mengubah persepsi masyarakat untuk lebih menghargai khazanah alam tempatan.

Selain itu, beruk kentoi juga diangkat sebagai maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

 

Artikel Lain