suria

Ikut jejak ‘tok wan’, lelaki ini mahu derma darah hingga akhir hayat... Amalan boleh bantu badan kekal sihat

Muhammad Aizad mula menderma darah seawal usia 19 tahun.

"SAYA bertekad akan menderma darah hingga ke akhir hayat selagi mampu," kata Muhammad Aizad Abdul Rashid, penderma darah yang aktif sejak 2007.

Pemuda berusia 37 tahun yang sudah menderma darah sebanyak 88 kali ini mengakui arwah datuk, Ismail Mat Din menjadi inspirasi kepadanya untuk terbabit dalam aktiviti tanggungjawab sosial itu.

Jelasnya, pelbagai anugerah, sijil dan pingat diperoleh datuknya kerana menjadi penderma darah yang paling banyak di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Sepanjang hayat tok wan (datuk) sehingga usia 79 tahun, dia seorang yang sihat kerana amalannya yang aktif menderma darah iaitu lebih 150 kali. Jadi secara tak langsung ia jadi inspirasi.

"Saya mahu kehidupan yang lebih sihat dan pada masa yang sama mahu membantu lebih ramai yang memerlukan. Sebab itu saya jadikan derma darah ini sebagai amalan," katanya kepada mStar.

Aizad (lima kiri) serta rakan penderma dari Persatuan Penderma Aferesis Malaysia (PPAM) bersama Pengarah Pusat Darah Negara Dr. Mohammad Masrin Md Zahrin (enam kiri). Aizad (lima kiri) serta rakan penderma dari Persatuan Penderma Aferesis Malaysia (PPAM) bersama Pengarah Pusat Darah Negara Dr. Mohammad Masrin Md Zahrin (enam kiri). 

Eksekutif projek yang berdarah O itu memaklumkan berbanding datuknya yang menderma darah utuh, dia pula turut aktif dalam pendermaan aferesis iaitu menderma plasma atau platelet.

Menerangkan lebih lanjut, Aizad berkata penderma apheresis boleh menderma darah sekerap setiap dua minggu dengan masa yang diambil antara 45 minit hingga sejam.

Bagi derma darah utuh pula setiap tiga bulan sekali dengan tempoh masa hanya lima hingga 10 minit.

Aizad yang juga Setiausaha Persatuan Penderma Aferesis Malaysia (PPAM) memaklumkan, bagi membolehkan seseorang itu menjadi penderma apheresis, mereka perlu menderma darah utuh sebanyak dua kali sebelum dibenarkan menderma plasma atau platelet.

Rutin Aizad yang gemar menderma darah menjadi ikutan rakan serta ahli keluarga termasuk isterinya, Nazirah (kanan).Rutin Aizad yang gemar menderma darah menjadi ikutan rakan serta ahli keluarga termasuk isterinya, Nazirah (kanan).

"Ramai tidak tahu ada kelebihan apabila menderma darah. Antaranya jika 50 kali menderma darah utuh, kita boleh dapat rawatan percuma selama 10 tahun bagi kelas pertama. Bagi aferesis perlu 150 kali pendermaan. Ini yang tertulis di buku merah derma darah.

"Lebih penting secara kebiasaannya penderma yang konsisten jarang mendapat penyakit kronik," katanya yang menjalankan rutin menderma itu di Pusat Darah Negara (PDN).

Aizad berkata dia yang sentiasa dalam keadaan sihat menyebabkan isterinya, Nazirah Nazali tertarik untuk turut sama menderma darah pada awal tahun ini. 

"Alhamdulillah lepas dia derma ada kesan yang baik dengan badan rasa lebih segar. Jadi sebelum ini jika pergi seorang, kini ada isteri yang turut sama menderma," katanya.

Artikel Lain