PERMINTAAN anak kecilnya yang mahukan baju anak patung Barbie baharu mencetuskan idea luar biasa buat Mohd Baharuzi Baharom untuk mula menjahit sendiri pakaian mini tersebut dengan gaya tersendiri.Lebih menarik, busana fesyen yang dijahit oleh penolong pegawai teknologi maklumat berusia 44 tahun itu merupakan jenis vintaj, di mana konsep dan rekaannya ditiru daripada pakaian sebenar di pasaran. "Baju patung Barbie rosak jadi anak minta saya buatkan. Saya pun jahit ikut rekaan vintaj dan apabila siap ambil gambar masukkan dalam Instagram. Tak sangka pula ramai yang bertanya."Apabila dapat banyak respons, saya buat lagi untuk koleksi secara suka-suka isi masa lapang di hujung minggu dengan menjahit," katanya kepada mStar.Selain pakaian, Mohd Baharuzi juga turut menghasilkan kasut, beg, makanan dan sebagainya dalam saiz miniatur.Mohd Baharuzi berkata idea untuk menghasilkan pakaian vintaj bersaiz anak patung Barbie sejak 2016 itu berkait dengan hobinya sendiri yang mengumpul pakaian-pakaian vintaj."Saya kumpul jenama Nike, namun bukan semua yang boleh saya kumpul berikutan harganya yang mahal dan mencecah ribuan ringgit. Jadi nak puaskan hati yang tidak mampu kumpul koleksi sebenar, maka saya buat koleksi yang bersaiz kecil iaitu 1:6."Apabila saya jahit dan kumpul, saya letakkan dalam bingkai dan jadikan ia hiasan di dinding," katanya yang mengambil masa antara sejam hingga tiga jam untuk menyiapkan pakaian berkenaan.Koleksi Mohd Baharuzi mendapat perhatian pembeli dari luar negara. Selain pakaian, Mohd Baharuzi juga turut menghasilkan beberapa item dalam saiz miniatur seperti kasut, beg, makanan dan sebagainya dengan kesemuanya memerlukan beliau menjahit, melukis dan mencetak."Sejak 2016, lebih 800 helai pakaian telah saya hasilkan dengan ada sebahagiannya turut dijual kerana ada permintaan. Antara pembeli saya dari Jepun, Belgium, Amerika Syarikat dan dalam negara sendiri."Ada yang mahu jadikan hantaran perkahwinan. Tak kurang juga para isteri yang minta buat pakaian seragam kerja suami untuk dijadikan hadiah sempena ulang tahun kerja dan sebagainya," katanya.Kini, hobi unik Mohd Baharuzi bukan sahaja mampu menjana pendapatan sampingan, malah menarik perhatian pelbagai pihak yang kerap menjemputnya untuk terlibat dalam pelbagai program dan pameran seni hobi tempatan.