suria

Snek percuma, fasiliti ‘nap room’ di tempat kerja nampak indah... Tapi awas, staf HR dedah ciri-ciri syarikat ‘red flag’

Mencari kerjaya yang sesuai adalah cabaran yang dihadapi ramai orang. -Gambar hiasan AI

DALAM situasi pasaran kerja yang semakin mencabar, ramai pemburu pekerjaan mudah terpedaya dengan iklan yang nampak 'cantik' di atas kertas.

Tapi menurut seorang kakitangan bahagian sumber manusia (HR), ramai sebenarnya tidak tahu cara untuk mengenal pasti 'red flag' (tanda amaran) tentang tawaran kerja.

Dalam hantaran di TikTok, individu tersebut berkongsi mengenai ciri-ciri yang digunakan segelintir syarikat untuk memperdaya pencari pekerjaan.

1. Self-starter atau self-motivator

Bunyinya macam positif, tapi maksud tersirat adalah syarikat tidak akan sediakan latihan. 

Anda akan terus 'dicampak' ke dalam bidang kerja tanpa bimbingan di mana semua kena belajar sendiri.

Kalau anda baru nak mula bina pengalaman, ini bukan tempat yang sesuai.

2. Urgent atau immediate hiring (kemasukan segera)

Kalau syarikat terlalu terdesak mahukan pekerja sampai tidak boleh tunggu tempoh notis, itu petanda bahaya.

Ia mungkin menunjukkan kadar keluar masuk pekerja (turnover) adalah tinggi, tekanan kerja melampau dan budaya kerja yang kelam-kabut.

Siasat latar belakang syarikat dengan betul sebelum terima tawaran bekerja. -Gambar hiasan AI

3. Double-hatted role

Istilah ini membawa maksud satu jawatan, tapi kena buat banyak kerja yang bukan bidang anda. 

Memang ada kerja yang perlukan fleksibiliti, tapi kalau semua benda anda kena buat dan 'cover', kemungkinan besar syarikat itu cuba ambil kesempatan.

4. Free snack, we are like a family dan nap room

Laman kerjaya penuh dengan ayat klise tersebut.

Benda ini mungkin nampak menarik, tapi selalunya ia hanya 'gula-gula' untuk alih perhatian daripada masalah sebenar.

Masalah yang cuba disorok berkemungkinan mengenai gaji rendah, tiada keseimbangan kerja dan hidup (work-life balance), serta budaya kerja toksik.

Jika mereka benar-benar syarikat yang bagus, tidak perlu 'pujuk' dengan benda remeh.

5. Deskripsi kerja panjang lebar tapi gaji 'boleh runding' (negotiable)

Ini antara tanda jelas anda akan buat macam-macam sebagaimana ditulis dalam deskripsi kerja, tapi gaji ditawarkan sangat rendah. 

Apabila deskripsi kerja lebih panjang dari kontrak rumah sewa, tapi bab gaji tak berani nyatakan, elakkan.

Artikel Lain