suria

[V] Pengantin gabung majlis kahwin, lebih mudah dan jimat... 'Emcee' ingatkan tentang risiko, 'drama' bakal timbul

Semakin banyak pasangan pengantin mengadakan majlis kahwin hanya sekali, melibatkan keluarga pihak lelaki dan perempuan. -Gambar hiasan AI

MENGGABUNGKAN majlis perkahwinan pengantin lelaki dan perempuan kini semakin popular kerana lebih mudah dan menjimatkan kos.

Seorang pengacara majlis, Amer Deen, memberikan beberapa perkara penting serta kemungkinan risiko yang mungkin ramai tidak tahu apabila menganjurkan majlis secara perkongsian.

Amer menjelaskan, pendapatnya ini diberikan berdasarkan pengamatannya sendiri sebagai event story-teller (tukang cerita) sepanjang mengacarakan pelbagai jenis majlis perkahwinan.

Berikut kebaikan dan cabaran yang patut dipertimbangkan apabila majlis kahwin digabung oleh kedua-dua belah keluarga pengantin:

Kebaikan

1. Jimat kos keseluruhan

Tidak perlu sewa dua dewan, dua pelamin atau dua kali tempahan katering.

2. Penat hanya satu kali

Semua urusan berlangsung dalam satu hari jadi tidak perlu lagi hadap kepenatan kali kedua.

3. Tempahan lebih mudah

Tempah baju pengantin, hotel, kereta dan segala keperluan dilakukan sekali sahaja membuatkan ia lebih senang dari segi perancangan dan pengurusan jadual.

Amer berkongsi pendapat dari pihak emcee majlis perkahwinan.

Cabaran

1. Tak adil

Akan wujud situasi tidak adil yang mana satu pihak berbelanja atau berusaha lebih berbanding pihak kedua, menyebabkan timbul rasa tidak puas hati jika tiada perbincangan telus dari awal.

2. Budaya, cara kerja berbeza

Kehendak, cita rasa dan cara kerja antara dua keluarga mungkin tidak sama, justeru jika tiada kesepakatan boleh menimbulkan konflik sepanjang proses persiapan menjelang majlis.

Untuk makluman, Amer yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di TikTok banyak berkongsi pandangannya serta majlis perkahwinan yang dihadiri sebagai 'emcee'.

Selepas perkongsian itu dibuat di TikTok, terdapat beberapa warga maya turut menyatakan pendapat mereka di ruangan komen.

Ada yang bersetuju dengan konsep gabung majlis ini yang dilihat lebih relevan dalam keadaan ekonomi masa kini dan dalam masa sama bimbangkan duit 'salam kaut' menjadi isu sesama ahli keluarga.

Mengenai duit 'salam kaut', ia boleh menjadi isu sensitif kerana berisiko berlakunya perebutan dan salah faham mengenai wang diperoleh.

Dalam pada itu, menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal mengadakan majlis walimah adalah sunat muakad. 

Ia disunatkan kepada pengantin lelaki (suami) untuk melakukannya.

Namun, jika pihak perempuan yang mengadakan majlis tersebut, ia juga sudah dianggap memenuhi tuntutan sunat bagi pihak lelaki.

Berhubung budaya di Malaysia yang biasanya mengadakan dua majlis, hukumnya adalah harus selagi mana tidak berlaku pembaziran atau israf (melampaui batas atau berlebihan).

Maka, semuanya bergantung kepada perbincangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak sama ada mahu gabung atau mengadakan majlis secara berasingan. 

Artikel Lain