suria

Asyik tersalah beli, membazir sangat! Ini 4 cara pilih buah naga supaya dapat isi manis, berjus

Teliti buah dengan baik bagi mengelakkan daripada terambil yang belum masak atau tawar.

MEMILIH buah dengan betul sebenarnya memainkan peranan penting bagi memastikan rasa yang dinikmati benar-benar manis, segar dan memuaskan. 

Jika tersalah pilih, buah yang nampak cantik di luar belum tentu sedap di dalam, malah mungkin tawar dan kurang berjus.

Perkara ini turut menarik perhatian seorang pengguna media sosial, Naik Razak  yang bermurah hati berkongsi beberapa tip mudah memilih untuk buah naga berkualiti.

Berikut merupakan empat tip ringkas yang boleh anda jadikan panduan:

1. Pilih kulit merah pekat

Cari buah naga yang mempunyai warna merah tua atau merah jambu pekat dan sekata.

Jika terdapat banyak bahagian hijau pada kulit, itu menandakan buah masih belum cukup masak.

2. Bentuk bulat dan jisim berat

Buah naga yang baik biasanya berbentuk bulat, bukan lonjong.

Selain itu, pilih buah yang terasa berat apabila dipegang kerana ia menandakan kandungan jus yang tinggi.

3. Sisik mula layu sedikit

Perhatikan bahagian sisik pada kulit buah.

Jika sisiknya sudah mula kekuningan atau sedikit layu, itu petanda buah sudah cukup masak dan biasanya lebih manis.

4. Sisik pendek, isi lebih tebal

Elakkan memilih buah dengan sisik yang terlalu panjang.

Sebaliknya, pilih yang bersisik pendek kerana kebiasaannya mempunyai isi lebih tebal dan kulit yang lebih nipis.

Tip mudah ini bukan sahaja membantu memilih buah yang sedap, malah memastikan anda mendapat nilai terbaik setiap kali membeli.

Artikel Lain