suria

Jimat masa di dapur! Wanita kongsi cara buat stok bahan tumisan, boleh tahan sampai sebulan

Nur menyarankan untuk orang ramai menggunakan bekas kaca supaya bahan kisar tahan lebih lama.

DALAM rutin harian yang padat, ramai yang tercari-cari cara untuk memudahkan urusan di dapur tanpa perlu menghabiskan masa terlalu lama setiap kali ingin menyediakan hidangan.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja atau mempunyai anak kecil, penyediaan bahan asas seperti bawang, cili api, kunyit dan halia sering menjadi antara proses paling memakan masa. 

Jadi, tidak hairanlah pelbagai tip shortcut memasak kerap dikongsikan di media sosial bagi membantu menjimatkan masa dan tenaga dalam menyediakan bahan tumisan agar ia lebih tahan lama.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, pengguna dikenali sebagai Nur berkongsi rahsia penyediaan bahan kisar yang dipelajari daripada suaminya, seorang bekas cef.

Berikut antara langkah yang boleh diikuti untuk menyediakan bahan kisar tahan lama tersebut:

1. Kisar bahan asas

Kisar dalam kuantiti yang banyak sama ada halus atau kasar mengikut kesesuaian masakan.

2. Simpan dalam bekas kaca

Selepas siap dikisar, masukkan bahan ke dalam bekas jenis kaca. 

Pastikan ada sedikit ruang di bahagian atas bahan tersebut.

3. Tuang minyak sebagai pelindung

Tuang minyak masak sehingga menutupi keseluruhan permukaan bahan kisar. 

Kaedah ini membantu bahan tahan lebih lama.

4. Tutup rapat dan simpan di peti sejuk

Pastikan bekas ditutup kemas dan disimpan di bahagian bawah peti sejuk, bukan di ruang beku.

Menurut Nur, bahan kisar ini boleh bertahan sehingga satu bulan jika disimpan dengan cara yang betul.

Nur turut menyarankan penggunaan bekas kaca kerana lebih tahan lama dan selamat, berbanding bekas plastik yang mudah rosak apabila kerap dibuka dan ditutup.

Di ruangan komen, ada juga netizen berkongsi tip tambahan iaitu menggunakan sudu yang bersih setiap kali mengambil bahan.

Sebaiknya celup sudu dalam air panas terlebih dahulu dan elakkan mencampurkan dengan rencah lain bagi menjaga ketahanan bahan.

Artikel Lain