suria

Kawan tiba-tiba menyulur macam ular lepas Maghrib! Sekelip mata tapak khemah 7 gadis diserang histeria

Perkhemahan merupakan aktiviti pilihan kebanyakan anak muda. -Gambar hiasan

BAGI segelintir individu, perkara mistik mahupun sihir hanyalah permainan dan khayalan minda semata-mata.

Malah ada yang beranggapan histeria dan rasukan yang sering berlaku di asrama merupakan cara untuk pelajar terlibat mendapatkan perhatian ramai.

Tambahan pula, berdasarkan kisah-kisah misteri yang dikongsikan, antara pelajar yang 'diganggu' adalah mereka yang gemar bersendirian dan tidak mempunyai kawan.

Berpendirian sama, Orked mengakui bahawa dia tidak mempercayai sihir mahupun manusia dirasuk jin.

Namun begitu, dia tidak menafikan kewujudan makhluk ghaib mahupun alam di sebalik mata.

Dia yang berpegang utuh pada prinsip itu bagaimanapun tidak menyangka bahawa perkhemahan bersama rakan-rakan universiti di sebuah hutan lipur di utara tanah air pada akhir Februari lalu, akan mengubah kehidupannya 360 darjah.

Berkongsi cerita, anak gadis berusia 26 tahun ini berkata, pada masa itu dia bersama enam lagi rakannya ingin mengabadikan ulang tahun ketujuh perkenalan mereka dengan cara yang unik.

Perkhemahan merupakan aktiviti yang sering dilakukan golongan muda. -Gambar hiasan

Aktiviti memanggang antara yang gemar dilakukan semasa berkhemah. -Gambar hiasan

"Disebabkan inginkan kelainan, aku sendiri mencadangkan supaya kami berkhemah di tapak perkhemahan ini.

"Lagipun lokasinya agak terpencil sedikit dan kebanyakan pengunjung hanya singgah untuk mandi manda di sungai je," ujarnya.

Dia yang baru memulakan tugas sebagai tutor sambilan di sebuah kolej swasta mengakui rasa teruja kerana cadangan yang diberikan diterima baik semua rakan-rakannya.

Susulan itu, mereka mula merencanakan aktiviti yang ingin dilakukan sepanjang tempoh dua hari satu malam di hutan lipur berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekawan berkhemah dalam hutan sambut tahun baharu... Pukul 2 pagi dengar bunyi bising, terkejut dapat tahu kisah ‘pasar setan’

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyi lagu Ulek Mayang waktu malam masa ‘camping’, 4 sahabat pulang awal! Si penyanyi ‘dipanggil’ terjun sungai

"Memang seronok sangat nak berkhemah walaupun pada awalnya ada yang tidak bersetuju. Yelah, tidak semua gemarkan aktiviti outdoor ni.

"Pada hari yang dijanjikan, tiba-tiba Azrin meluahkan rasa tidak sedap hati dan berharap rancangan dibatalkan.

"Tapi disebabkan semua persediaan telah disediakan termasuk bayaran sewa kelengkapan perkhemahan, kami mengambil keputusan untuk meneruskan juga dan pujuk dia," jelasnya.

Malah kata Orked, bagi meredakan rasa tidak senang rakannya itu, dia mengajak dua lagi rakan lelaki yang mahir dalam rawatan pengubatan Islam untuk turut serta aktiviti perkhemahan.

"Masa tu, aku ingatkan yang Azrin takut sebab kami semua perempuan, jadi aku cakaplah yang dua kawan lelaki akan datang temankan.

"Mujurlah Syakeel dan Muhammad nak turut serta, mungkin sebab mereka fikir yang kami semua perempuan dan tidak tahu selok belok lokasi perkhemahan... jadi dorang terus setuju," tambahnya.

Menurut anak gadis ini lagi, dia mula melihat perubahan Azrin pada waktu senja, selepas khemah dan kelengkapan memasak disediakan.

Mandi sungai antara aktiviti menarik yang dilakukan ketika berkhemah. -Gambar hiasan

Mandi sungai antara aktiviti menarik yang dilakukan ketika berkhemah. -Gambar hiasan

"Senja tu dah nampak perubahan Azrin, bayangkan orang yang sentiasa ceria tiba-tiba duduk termenung jauh.

"Apabila ditegur, dia hanya mendiamkan diri dan menunduk, langsung tidak memandang wajah orang lain.

"Rakan-rakan lain mula meluahkan rasa bimbang, tapi kami ditenangkan oleh Syakeel dan Muhammad yang tiba di lokasi sekitar pukul 7 malam.

"Masa ni, keadaan masih terkawal sehinggalah masing-masing selesai solat Maghrib," imbaunya lagi.

Bercerita lanjut, Orked berkata, semasa masing-masing tengah rancak memanggang ayam dan sosej, Azrin tiba-tiba jatuh terlentang.

"Apabila kami mendekatinya, dia hanya ketawa tanpa henti... memang pelik melihat reaksinya.

"Tanpa diduga, adegan ketawa mengilai itu seolah-olah 'berjangkit' sehingga akhirnya kelima-lima rakan lain turut ketawa seperti dirasuk.

"Paling mengejutkan apabila ada yang tiba-tiba menyulur seperti ular, bergerak menggunakan dada dengan keadaan tangan dan kaki diletakkan ke belakang badan.

"Ada yang melompat-lompat dan merangkak mengelilingi kawasan perkhemahan kami. Dua orang lagi tiba-tiba menjerit dan meraung seperti dipukul... memang menyeramkan," jelas Orked menceritakan situasi yang disaksikannya sendiri.

Melaungkan azan di dalam hutan adalah salah satu amalan yang sering dilakukan apabila terdapat gangguan. -Gambar hiasan

Melaungkan azan di dalam hutan adalah salah satu amalan yang sering dilakukan apabila terdapat gangguan. -Gambar hiasan

Tambahnya, bimbang keadaan lebih teruk berlaku, Syakeel dan Muhammad mula melaungkan azan dan memagar kawasan perkhemahan supaya rakan-rakan yang dirasuk tidak keluar dari lokasi sekitar.

"Mereka cakap, keadaan boleh bertambah teruk sekiranya kami semua tidak keluar dari tapak perkhemahan serta merta. Jadi, mereka minta supaya aku hubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan," kongsinya lagi.

Mengakui panik dengan situasi berlaku, Orked berkata, dia kemudiannya menghubungi pasukan bomba bagi membantu mengeluarkan rakan-rakannya yang masih tidak sedarkan diri.

Mana tidaknya, rakan-rakannya masih berkelakuan sama walaupun telah disembur air Yassin yang dibawa oleh Muhammad.

Pada masa sama, dia menzahirkan rasa syukur kerana tidak 'diganggu' dan dapat membantu dua rakan lelakinya mengawal keadaan.

Malah Orked turut meluahkan rasa kesal kerana tidak mempercayai kata-kata Azrin yang seolah-olah telah memberi 'tanda' lebih awal.

Baginya, apa yang disaksikan itu mungkin 'teguran' untuknya supaya tidak memandang enteng tentang alam di sebalik mata.

Artikel Lain