HAMPIR sebulan menderita, wanita yang pernah mencuri tumpuan di media sosial kerana perkongsian kisahnya menjadi teman serumah kepada pocong, dikhabarkan sudah meninggal dunia.
Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang TikToker, Nisa Khainis pada Isnin, selepas disahkan oleh seorang lagi rakan serumah arwah.
Nisa yang sebelum ini memuat naik video mengenai kisah 'Housemate Pocong' di TikTok miliknya selepas mendapat keizinan arwah, terkejut mendapat khabar duka tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Housemate' harum semerbak, siap tidur sekatil rupanya pocong! Ramai nampak gadis cakap 'sorang-sorang'
"Tak sangka pengakhiran kisah 'Housemate Pocong' macam ni. Al-Fatihah buat Cikgu Nina," tulisnya dalam satu hantaran terbaharu pada Isnin malam.
TikToker itu turut memuat naik perkongsian perbualannya menerusi Direct Message (DM) dengan individu dipercayai rakan serumah kepada arwah Cikgu Nur Ainina (Nina).
Menerusi perbualan berkenaan, individu tersebut memaklumkan kepada Nisa bahawa dia dan arwah yang merupakan seorang guru, sempat bertemu minggu lalu.
Tangkap layar (screenshot) perbualan Nisa bersama seorang lagi rakan serumah arwah.
"Saya ex-housemate dia dan kami ada jumpa dalam beberapa hari lepas selepas viral kes tu. Malam semalam (Sabtu malam) saya dapat panggilan dari ibunya yang mengatakan Nina dah tak ada," ceritanya.
Menurutnya, dia adalah individu yang dimaksudkan sebagai rakan serumah baharu dalam kisah yang dikongsikan arwah di laman sosial minggu lalu.
Ujarnya, kejadian mistik itu berlaku pada pertengahan April lalu dan dia sendiri mengalami gangguan ketika menyewa di rumah sewa yang terletak di Shah Alam itu hingga mengambil keputusan untuk berpindah segera.
"Masa mula-mula masuk situ, saya nampak arwah cakap sorang-sorang, berjalan ke bawah sorang-sorang.
"Saya pindah sebab saya nampak pocong dekat hujung bucu bilik saya tidur. Dengan muka hitam bau busuk. Dua kali nampak pocong ni.
"Saya sempat berubat, Alhamdulillah makin pulih daripada gangguan… lebih daripada trauma sebenarnya," ceritanya.
Menurut individu itu, arwah pernah berkongsi mengenai penderitaan yang dialami dengannya namun dia sama sekali tidak menyangka ia berakhir dengan tragis.
"Tak tahu mana silapnya, arwah pernah cakap dengan saya… pergi berubat tapi makin parah. Dia sakit awak. Tak tidur, tak makan berhari-hari… minum je. Benda tu muncul sangat-sangat kerap.
"Daripada cerita arwah Kak Nina dan ibunya, gangguan tu berpunca daripada orang lama-lama di situ yang bangkitkan benda syirik tu untuk tujuan tak baik.
"Tapi tuan dia mati. Jadi bukan dekat rumah tu saja. Ikut mana 'dia' nak pergi cari tuan. Mungkin arwah ni lemah semangat dan dalam keadaan datang bulan. Terkena dekat arwah siap terbagi makan minum apa semua," ceritanya lagi di dalam DM kepada Nisa.
Rakan serumah mendedahkan arwah pernah berkongsi kisah penderitaannya akibat terkena gangguan.
Individu berkenaan memberitahu bahawa jenazah arwah Nina selamat disemadikan pada pagi Ahad.
Ujarnya lagi, rakan serumah asal yang dikhabarkan pulang ke kampung sebelum arwah Nina masuk menyewa, masih tidak dapat dikesan keberadaannya.
"Housemate yang balik kampung tu kami tak tahu keberadaan dia... sama ada hidup atau dah tak ada, sakit ataupun sihat. Hilang macam tu.
"Owner rumah pun tak dapat contact dia," ujarnya lagi.
Dua perkongsian terbaharu Nisa mengenai pemergian arwah Cikgu Nina menjadi tular selain dibanjiri komen warga maya yang turut sama meluahkan rasa terkejut dengan berita duka berkenaan.
Minggu lalu, kisah 'Housemate Pocong' yang dikongsikan arwah Cikgu Nina berdasarkan pengalaman mistik yang dialaminya ketika menyewa di Shah Alam, menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Dalam perkongsian tersebut, arwah turut memaklumkan dia berada dalam fasa pemulihan dan meminta warga maya mendoakan kesembuhannya.
mStar turut menyiarkan kisah yang dikongsikan arwah Cikgu Nina dalam segmen Mistik pada Selasa minggu lalu.
Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah buat Allahyarham Cikgu Ainina dan mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.