suria

Pemuda siasat sejarah rumah baru disewa... Sah 'keras', ada penunggu! Pemilik dakwa 'clean' tiada gangguan

Gangguan mistik yang berlaku di rumah akan menyebabkan penghuni hidup tidak tenang. -Gambar hiasan AI

PROSES untuk berpindah rumah bukanlah satu urusan mudah, apatah lagi jika ia terpaksa dilakukan sendirian.

Begitulah apa yang perlu dilalui Zaki (bukan nama sebenar) yang berpindah ke rumah sewa baharunya di ibu kota.

Pada hari pertama masuk ke rumah itu, Zaki tertidur kepenatan selepas seharian mengangkat kotak barang-barangnya.

Zaki kemudiannya terbangun pada waktu tengah malam kerana berasa haus.

Ketika berjalan melewati ruang tamu, matanya terpandang ke arah balkoni yang separuh terbuka.

Jantungnya serta-merta berdegup kencang selepas terpandang dengan jelas sosok wanita berpakaian putih dengan tompokan darah sedang berdiri di balkoni.

Zaki yang menggigil ketakutan terus berlari masuk ke bilik dan mengunci pintu rapat-rapat.

Gangguan rupa-rupanya tidak terhenti di situ. Sebaliknya Zaki dihantui pula dengan bunyi atau suara misteri pada malam-malam berikutnya.

Penyewa perlu membuat beberapa semakan sebelum bersetuju untuk berpindah ke rumah baharu. -Gambar hiasan AI

Ekoran gangguan berterusan, Zaki terpaksa bertanya kepada pemilik rumah sekiranya penyewa sebelum ini turut berdepan gangguan.

Pemilik rumah menafikan rumah tersebut berpenunggu, malah katanya penyewa lama tidak pernah mengadu tentang sebarang kejadian mistik kepadanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan tuan rumah, Zaki mula menyiasat sendiri tentang kediaman yang disewa itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Macam muka arwah!” - Jururawat menjerit dalam tandas wad, nampak kelibat makhluk lidah terjelir mirip pesakit baru meninggal

ARTIKEL BERKAITAN: Mendaki tengok matahari terbenam, pasangan kekasih cabut lari ‘ditegur’ pocong berwajah buruk

Seleps berhari-hari membuat carian, Zaki menemui satu posting oleh individu tidak dikenali dalam grup Facebook penduduk pangsapuri itu.

Pemilik posting tidak menyatakan nombor unit, namun berdasarkan ciri-ciri yang disebut, Zaki yakin kisah itu berlaku di rumah yang disewanya.

Menurut individu itu, dia terpaksa berpindah keluar kerana sering diganggu dengan kelibat wanita di dalam rumah sewanya.

Dari situ Zaki mendapat jawapan yang dia bukanlah satu-satunya mangsa gangguan di rumah sewa berkenaan.

Namun, Zaki berfikir dia pastinya akan rugi jika mahu berpindah lagi kerana sudah membayar wang deposit dan mengikat kontrak selama setahun.

Bagi menghentikan gangguan, Zaki terpaksa mendapatkan bantuan seorang ustaz untuk 'membersihkan' kediaman itu.

Selepas beberapa sesi rawatan, rumah berkenaan kini lebih tenang tanpa sebarang gangguan.

 

Artikel Lain