SEKITAR penghujung tahun 90-an, gempar kisah mengenai seorang wanita yang kandungannya hilang secara tiba-tiba.
Roslina dan Kamil (bukan nama sebenar) menetap di sebuah kampung terpencil di Sungai Siput, Perak.
Setelah 11 tahun menanti cahaya mata, Roslina disahkan hamil dan kegembiraan mereka turut dikongsi seluruh penduduk kampung.
Namun apabila kandungannya mencecah enam bulan, Roslina mula mengalami mimpi aneh didatangi seorang wanita tua berpakaian serba putih dengan wajah samar tetapi bercahaya.
Dalam setiap mimpi itu, wanita misteri berkenaan berdiri dan memandang tepat ke arah perutnya, seolah-olah tertarik pada kandungan dalam rahimnya.
Roslina hanya berdiam diri dan menyangka itu sekadar mimpi biasa sehinggalah dia terjaga suatu malam kerana perutnya memulas.
Emosi wanita biasanya lebih sensitif ketika hamil. -Gambar hiasan AI
Namun, dia kembali melelapkan mata selepas rasa sakit perut itu beransur hilang.
Hari-hari berikutnya, Roslina mula menyedari perutnya terasa ringan dan tiada lagi pergerakan janin yang selama ini menjadi penghibur hatinya.
Roslina mengadu kepada Kamil tentang hal itu sebelum dia dibawa berjumpa Mak Midah, seorang bidan kampung yang mahir dalam hal ghaib.
Mak Midah melakukan 'imbasan' dan ketika air bacaan disapu ke perut Roslina, wanita itu menangis teresak-esak sambil meracau seperti dirasuk.
Selepas selesai merawat Roslina, Mak Midah mengatakan kemungkinan besar anak dalam kandungan Roslina telah diambil oleh bunian.
Roslina terkejut dan tidak dapat menerima kenyataan itu, namun selepas ke hospital, doktor juga kebingungan dan mengesahkan rahimnya kosong tanpa sebarang tanda pernah mengandung.
Roslina jatuh murung dan sejak kejadian itu, dia banyak termenung di tangga rumahnya.
Roslina juga jatuh sakit kerana selama dua tahun sebelum dia menghembuskan nafas terakhir akibat terlalu sedih dengan kehilangan bayinya.