RAMAI menganggap kisah-kisah sihir yang sering dikongsi pada masa kini sekadar rekaan demi menghasilkan 'content' menarik.
Namun tidak bagi wanita ini yang dikenali sebagai Shidah.
Bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat ternama di ibu kota, hidup Shidah berubah sekelip mata selepas mula mengalami gejala pelik pada dirinya.
Lebih menyedihkan, apa yang dialaminya itu bukan berpunca daripada penyakit biasa sebaliknya dipercayai angkara sihir melibatkan individu di tempat kerja sendiri.
"Saya selalu letak bekas air dekat pejabat, memang dah jadi kebiasaan. Letak hari ini, minum esoknya. Lepas tu, baru tukar air yang baharu,” katanya memulakan cerita.
Namun siapa sangka rutin harian itu berubah menjadi petaka apabila tubuhnya mula menunjukkan gejala aneh.
Kepalanya rasa pening, perutnya sakit dan perasaan tidak tenteram yang sering menghantui diri sukar untuk dijelaskan.
“Paling saya tak boleh lupa... satu hari tu, saya muntah darah. Berketul-ketul darah dalam sinki dekat pantri tu.
"Masa tu terus rasa takut sangat. Saya tak pernah alami benda menakutkan macam tu sebelum ni sepanjang hidup dan bekerja dekat sini sejak dua tahun lalu,” luahnya.
Bimbang dengan kesihatan diri yang semakin terjejas, dia mendapatkan rawatan di klinik dan hospital.
Konflik boleh berlaku sekiranya persekitaran tempat kerja itu toksik. -Gambar hiasan AI
Tetapi, keputusan ujian kesihatan tidak menunjukkan apa-apa yang serius dan semuanya dalam keadaan normal.
“Saya tahu badan saya sendiri. Ini bukan sakit biasa. Ada sesuatu yang tak kena. Rasa seolah-olah ada yang cuba kawal saya,” tambahnya.
Wanita ini kemudian mendapatkan rawatan alternatif daripada seorang pengamal perubatan Islam di Selangor.
Dari beberapa sesi rawatan, terbongkarlah satu kejutan apabila seorang ustaz memaklumkan dia dipercayai terkena sihir.
Menurut ustaz berkenaan, pelaku dipercayai seorang individu yang ada kaitan dengan tempat kerjanya.
Malah lebih mengejutkan, perbuatan itu turut melibatkan seorang makcik 'cleaner' yang sering berada di sekitar pejabat.
"Sejak kebelakangan ini, ada salah seorang makcik suka tawarkan diri nak isikan semula air dalam botol setiap kali saya habiskan.
"Kalau saya tinggalkan (air) separuh sebelum balik pun, esoknya mesti dah siap terisi penuh semula air dalam botol tu. Ini menguatkan lagi 'teori' (tuduhan) saya.
"Lagi pula saya tahu makcik 'cleaner' tu rapat dengan musuh (rakan sepejabat) saya. Saya ingat lagi, memang musuh tu ada tak puas hati sampai ugut buat sesuatu kalau saya tak berhenti kerja," jelasnya.
Justeru dia percaya bekas air yang diletakkan di pejabat telah 'disentuh' dengan niat tidak baik.
Wanita ini akhirnya berhenti kerja demi menghidari sebarang kemungkinan lebih buruk dan mengambil masa untuk pulih secara perlahan-lahan.
Shidah berkongsi kisahnya supaya semua orang lebih berhati-hati, terutama dalam soal makanan dan minuman yang dikirim atau diberikan.