PANGGILAN video biasanya menjadi medium untuk seseorang melepaskan rindu terhadap ahli keluarga, sahabat handai, sanak saudara dan insan istimewa.
Namun bagi lelaki bernama Muzamir, dia menyimpan satu pengalaman paling ngeri dalam hidupnya selepas mendakwa menerima panggilan daripada tunangnya yang sudah meninggal dunia.
Kisah bermula apabila suatu hari dia pulang lewat dari tempat kerja, sekitar pukul 2 pagi.
Dalam keletihan, dia dihubungi tunangnya melalui panggilan video di mana gadis itu membuat panggilan dalam posisi duduk di atas sofa.
Riak wajahnya nampak begitu lesu, namun tetap mengukir senyuman buat Muzamir.
Tetapi Muzamir perasan ada sesuatu yang janggal kerana tunangnya itu langsung tidak bersuara dan akhirnya panggilan itu terhenti begitu sahaja.
Keesokan pagi, lelaki tersebut dikejutkan dengan panggilan dan khabar duka daripada keluarga tunangnya.
"Kami baru jumpa mayat dia dalam rumah hari ni. Dah seminggu meninggal," kata salah seorang ahli keluarga.
Lelaki itu terdiam, bagai tidak percaya memandangkan dia baru saja bercakap dengan tunang pada malam sebelumnya.
Panggilan misteri itu terus meghantui Muzamir. -Gambar hiasan AI
Bagaimanapun, apa yang ditunjukkan oleh keluarga tunang benar-benar sukar diterima akal kerana telefon milik gadis berkenaan juga dijumpai dalam keadaan rosak.
Malah bateri telefon mengembung dan tidak lagi boleh dihidupkan ketika dia ditemukan meninggal dunia.
Ketika itulah bulu romanya meremang dan berasa seram kerana tunangnya memang membuat panggilan menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali.
Apabila disemak, nombor telefon tersebut tidak wujud dalam mana-mana rekod syarikat telekomunikasi.
Muzamir memberanikan diri membuka rakaman panggilan video yang sempat disimpan dan menyedari tunangnya hanya tersenyum namun matanya tidak berkelip langsung.
Dalam tiga saat terakhir video itu, kelihatan kelibat seorang wanita lain yang muncul di belakang.
Sejak peristiwa itu, Muzamir kerap diganggu dengan panggilan telefon ketika dia tidur setiap malam.
Apabila panggilan itu dijawab, hanya kedengaran bunyi nafas panjang dan suara seorang wanita dalam kesedihan.
"Saya belum habis cakap lagi…" bisik suara halus dari dalam talian.
Lelaki itu juga cuba memadam video yang disimpan dalam telefonnya berkali-kali namun rakaman tersebut tetap muncul semula.
Akhirnya, dia mengambil keputusan menukar nombor nombor dan telefon baharu agar tidak lagi menerima gangguan tersebut.