GENERASI muda masa kini cenderung menghabiskan terlalu banyak wang untuk hiburan dan mengikuti trend terkini.
Malah, ada yang sanggup menghabiskan wang demi membayar pakej langganan bulanan untuk aplikasi-aplikasi hiburan seperti Spotify, Apple Music, Netflix, Disney + Hotstar, HBO Max, YouTube Premium dan macam-macam lagi.
Harus diingat, 2025 merupakan tahun ekonomi yang mencabar, malah banyak wang yang bakal kita gunakan memandangkan Ramadan dan Syawal bakal tiba tidak lama lagi.
Berikut kami kongsikan beberapa langkah untuk anda melakukan penjimatan dan menyimpan wang pada tahun ini:
1. Batal langganan
Ramai sebenarnya yang melanggan aplikasi hiburan yang menawarkan banyak filem atau drama namun tidaklah menontonnya setiap hari.
Jika anda bukanlah penonton yang tegar, sebaiknya batalkan sahaja langganan.
Sama juga aplikasi untuk lagu, anda sebenarnya tidak perlu membayar langganan bulanan untuk mendengar muzik.
Ini kerana anda masih boleh mendapat akses lagu-lagu secara percuma di YouTube dan juga Telegram.
Anda boleh menjimatkan komitmen bulanan dengan menghentikan langganan aplikasi hiburan yang tidak perlu. -Gambar hiasan
Anda juga boleh kembali ke cara tradisional dengan muat turun lagu seperti zaman dulu-dulu.
2. Simpanan automatik
Sebut tentang menabung, pasti ramai dalam kalangan kita yang malas untuk melakukannya.
Pada zaman kini, tak ramai yang memiliki tabung fizikal untuk menyimpan wang.
Sebagai solusi, banyak perkhidmatan perbankan hari ini menawarkan fungsi untuk menetapkan pemindahan automatik ke akaun simpanan atau tabung khas setiap kali gaji masuk.
Dengan cara ini, anda tidak akan tergoda untuk membelanjakan wang tersebut.
3. Diskaun dan tawaran
Gunakan aplikasi yang menawarkan cashback atau diskaun untuk pembelian harian.
Malah, kad bank atau kad kredit tertentu juga menawarkan diskaun serta tawaran berbeza kepada pelanggannya.
Jadi, anda harus sentiasa bijak dalam berbelanja.
Selain itu, anda juga disarankan membeli barangan keperluan seperti makanan dan barang runcit semasa promosi berlangsung.