suria

Pensyarah lega tak ‘sign’ S&P rumah mewah RM600,000... Hidup lebih aman beli kediaman ‘second hand’

Rancang kewangan dengan betul sebelum membeli rumah. -Gambar hiasan

SETIAP orang mempunyai perancangan kewangan tersendiri selepas memasuki alam pekerjaan.

Apabila mula bekerja, pastinya ramai yang merancang untuk berkahwin, mempunyai anak dan seterusnya membina keluarga. 

Seiring dengan perkembangan ini, memiliki rumah sendiri menjadi impian utama.

Seorang pensyarah dikenali sebagai Zahir Alauddin berkongsi pengalaman peribadi dalam usaha memiliki rumah sendiri pada usia muda.

Namun dalam mengejar impian tersebut, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan agar tidak terbeban dengan komitmen kewangan.

27857188

Ramai yang mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri. -Gambar hiasan

Jangan terpedaya dengan rumah mewah

Ramai yang mudah ‘cair’ apabila melihat reka bentuk rumah moden, kawasan perumahan yang elit dan kemudahan lengkap.

Walaupun pihak bank menyatakan kita layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan, tidak bermakna kita harus membeli rumah tanpa menilai kemampuan kewangan sebenar.

Menurut pensyarah berkenaan, ramai yang membuat kesilapan dengan membeli rumah terlalu mahal sehingga separuh daripada gaji bulanan digunakan untuk bayaran rumah. 

Pengalaman peribadi: Pilihan rumah yang lebih bijak

Pada tahun 2014, Zahir dan isterinya bercadang untuk membeli rumah bernilai RM600,000 dengan pinjaman perumahan selama 35 tahun. 

Anggaran bayaran bulanan adalah sekitar RM2,800.

Ketika segala urusan perjanjian jual beli (S&P) hampir dimuktamadkan, nasihat seorang rakan kepada ibu mentuanya membuatkan mereka berfikir dua kali.

Menurut nasihat tersebut, ramai anak muda membeli rumah yang mahal tanpa memikirkan kesan jangka panjang. 

Akibatnya, ramai yang akhirnya gagal membayar pinjaman dan rumah mereka dilelong, malah ada yang disenaraihitamkan oleh institusi kewangan.

Terpukul dengan nasihat tersebut, mereka akhirnya membatalkan pembelian rumah RM600,000 dan mencari rumah 'second-hand' pada harga lebih rendah, sekitar RM315,000.

Dengan harga ini, bayaran bulanan rumah hanya RM1,500, jauh lebih rendah berbanding RM2,800.

27419328

Pastikan rumah yang dibeli mengikut status kewangan diri sendiri. -Gambar hiasan

Renovasi rumah dan simpanan lebih stabil

Walaupun rumah yang dibeli dalam keadaan kurang memuaskan, pasangan ini menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta simpanan peribadi untuk pengubahsuaian. 

Jumlah yang dikeluarkan untuk pengubahsuaian adalah sekitar RM60,000.

Keputusan ini bukan sahaja membolehkan mereka memiliki rumah yang lebih baik, malah memberi ruang untuk menguruskan kewangan dengan selesa.

Dengan bayaran bulanan yang lebih rendah, mereka mempunyai lebihan wang untuk keperluan lain seperti pendidikan anak-anak, perbelanjaan keluarga serta pelaburan masa depan.

Artikel Lain