suria

Ramadan bukan bulan festival makanan... Ini cara elak boros supaya tak pening sambut Syawal

BULAN Ramadan bukan sahaja masa untuk kita perbanyakan ibadah, tetapi ia juga sebagai peluang menguruskan kewangan dengan baik.

Ia bertujuan sebagai persiapan agar kita dapat menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan tanpa beban kewangan yang tinggi.

Berikut adalah beberapa tip kewangan untuk membantu anda berjimat sepanjang Ramadan supaya lebih bersedia menyambut Hari Raya Aidilfitri:

1. Sediakan bajet bulanan

Merancang bajet lebih awal dapat membantu mengawal perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan. Gunakan formula mudah ini:

50 peratus untuk keperluan asas seperti barang dapur dan minyak kenderaan.

30 peratus untuk kehendak seperti baju raya, kuih raya, atau berbuka puasa di hotel bersama keluarga.

20 peratus untuk simpanan kecemasan dan insurans.

Asingkan duit untuk mengelakkan pembaziran pada bulan puasa. -Gambar hiasan

2. Masak untuk juadah berbuka

Memasak sendiri juadah berbuka jauh lebih menjimatkan berbanding membeli makanan di luar. Sebelum membeli barang dapur, pastikan anda membuat senarai untuk mengelakkan pembaziran dan membeli secara berlebihan.

3. Berbuka bersama keluarga

Berbuka bersama keluarga bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah lebih menjimatkan. Anda boleh berkongsi hidangan dengan ahli keluarga lain, sekali gus dapat merasa pelbagai jenis makanan tanpa perlu berbelanja besar.

4. Berbuka di masjid

Selain mendapat pahala, berbuka di masjid juga dapat mengurangkan perbelanjaan harian. Kebanyakan masjid menyediakan makanan berbuka secara percuma.

Ini membolehkan anda terus menunaikan solat tarawih serta menikmati moreh yang boleh dijadikan hidangan sahur.

5. Beza keperluan dan kehendak

Elakkan pembelian impulsif dengan menilai sama ada sesuatu barang itu benar-benar diperlukan atau sekadar keinginan. 

Contohnya, baju raya yang berbaloi dibeli ialah yang boleh dipakai berkali-kali dan mudah dipadankan dengan aksesori sedia ada seperti kasut dan beg tangan.

Dengan perancangan kewangan yang bijak, anda dapat menikmati bulan Ramadan dengan tenang dan menyambut Aidilfitri dengan lebih gembira tanpa perlu risau tentang perbelanjaan berlebihan. 

Artikel Lain