HARGA emas yang melonjak hingga hampir RM500 satu gram membuatkan ramai yang mula menukar bentuk simpanan untuk masa hadapan.
Bukan orang dewasa, kanak-kanak turut dan golongan remaja turut terikut-ikut trend ini.
Ramai dilihat mengambil peluang membeli emas menggunakan duit raya yang diperoleh sempena sambutan Syawal kali ini.
Mana tidaknya, membeli emas dikatakan dapat membantu mengukuhkan ekonomi dan kewangan seseorang itu jika disimpan dalam tempoh yang lama.
Bagi anda yang masih 'berkira-kira' cara simpanan mana yang lebih menguntungkan, cuba fahami perkongsian Hanisah Ali di laman TikTok ini.
Menurutnya, bagi simpanan jangka pendek atau kurang dari dua tahun, tabungan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji adalah paling baik.
Duit raya merupakan tabungan utama kebanyakan kanak-kanak.
Ini kerana, pulangan dividen yang diterima masih konsisten dan dianggarkan empat hingga lima peratus setahun.
Terbaharu, dividen bagi kedua-dua institusi kewangan itu mencatatkan 3.25 peratus bagi Tabung Haji manakala 5.75 peratus bagi ASB.
Mengulas tentang simpanan jangka masa panjang pula, emas adalah pilihan terbaik kerana nilainya lebih terjamin.
Malah ia tidak terjejas walaupun keadaan ekonomi mahupun politik sesebuah negara itu bergolak.
Meskipun mempunyai nilai susut, namun kadar jualan balik yang diterima melebihi nilai belian serta kadar susut apabila sudah melebihi sesuatu tempoh masa.
Ini kerana, kenaikan harga terkini emas pada tahun 2024 adalah sekitar 22.9 peratus.
Sehubungan itu, katanya, mempelbagaikan simpanan adalah kaedah yang sepatutnya diamalkan masyarakat bagi mengelakkan masalah kewangan berlaku di kemudian hari.