MENYEDIAKAN dana pendidikan demi masa depan anak-anak merupakan salah satu perancangan kewangan paling penting bagi ibu bapa.
Memandangkan kos pendidikan semakin meningkat setiap tahun, membuat simpanan dari awal dapat membantu mengurangkan beban kewangan kelak.
Namun begitu, tidak semua ibu bapa mempunyai kemampuan yang sama untuk menyimpan dalam satu jumlah yang besar, ditambah pula dengan komitmen dan keperluan harian keluarga.
Justeru, amalan menyimpan secara konsisten walaupun sedikit atau jumlah yang kecil tetap memberi impak besar dalam jangka panjang.
Bagi Muhammad Ridhwan Ab Latif, 39, segalanya bermula dengan simpanan sederhana sebanyak RM100 sebulan untuk pendidikan anak-anak.
Menurut akauntan itu, dia memulakan tabungan tersebut menerusi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sejak kelahiran anak pertamanya pada tahun 2019.
"Apabila saya timang anak pertama, saya terus fikir untuk menyimpan di Simpan SSPN bagi masa depan pendidikannya.
"Jadi apabila dapat anak kedua dan ketiga, saya terus sahaja buka akaun baharu dan memperuntukkan jumlah sama iaitu RM100 untuk mereka juga," ujarnya.
Duit raya yang diterima anak-anak boleh disimpan di Simpan SSPN bagi mengelakkan ia dibazirkan kepada perkara yang kurang bermanfaat. -Gambar hiasan
Setiap kali menerima cahaya mata baharu, Ridhwan segera membuka akaun Simpan SSPN lain dan mengekalkan jumlah simpanan bulanan yang sama.
Kini bergelar bapa kepada tiga anak berusia antara satu hingga enam tahun, dia menjadikan simpanan tersebut sebagai komitmen utama dalam perbelanjaan bulanan melalui sebarang pendapatan lebihan yang diperoleh termasuk daripada bonus gaji.
"Saya memang memberi keutamaan kepada Simpan SSPN anak-anak, boleh kata ia ‘top priority’ saya, yang lain-lain seperti perbelanjaan bulanan, saya akan sesuaikan ikut keadaan.
“Contohnya jika ada satu bulan saya rasa wang belanja agak kurang untuk belanja dapur dan sebagainya, dekat situ, saya boleh mengurangkan pembelian barangan tertentu mengikut kesesuaian.
"Bagi saya, perbelanjaan lain-lain masih fleksibel, tapi jangan sesekali ‘miss’ atau kurangkan simpanan," katanya lagi.
Ridhwan tidak menyangka memenangi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
Ridhwan turut memanfaatkan duit raya anak-anak untuk ditambah ke dalam Simpan SSPN, sekali gus meningkatkan jumlah tabungan yang turut menerima dividen tahunan yang kompetitif.
Insentif seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 juga menjadi antara tarikan utama dia untuk kekal konsisten menyimpan.
Apatah lagi dengan kelebihan lain yang ditawarkan seperti perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.
"Janji kita konsisten simpan. Nanti pejam celik tanpa kita sedar simpanan itu sekejap sahaja dah meningkat. Teruskan konsisten dan jangan keluarkan simpanan tersebut," kongsinya lagi.
Siapa sangka, komitmen Ridhwan menyimpan secara konsisten dalam Simpan SSPN membuahkan hasil apabila dia terpilih sebagai salah seorang pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024, dan membawa pulang sebuah motosikal Yamaha MT09.
“Saya anggap kemenangan ini sebagai satu rezeki sebab bila saya mula menyimpan, memang niat untuk simpanan pendidikan anak-anak. Tapi sungguh tak sangka pula boleh menang cabutan hadiah yang dianjurkan ini," ujarnya.
Bahagi komitmen, simpanan berganda
Berbeza dengan sesetengah ibu bapa yang mula menyimpan seawal kelahiran anak, Nor Hafizah Zulkipli, 43, hanya mula membuka akaun Simpan SSPN untuk dua anaknya sekitar tahun 2020.
Walaupun langkah itu bermula agak lewat, ibu kepada dua cahaya mata ini tetap tekad bagi memastikan tabungan pendidikan anak-anak diberi keutamaan dalam perancangan kewangannya.
Nor Hafizah (dua dari kanan) bersama keluarganya.
Pada awalnya, Nor Hafizah yang juga pensyarah, bersama suami hanya menyimpan melalui institusi kewangan lain seperti Tabung Haji.
Namun, apabila mengetahui tentang manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan yang ditawarkan kepada pendeposit Simpan SSPN sehingga RM8,000 setahun, mereka segera membuka akaun untuk kedua-dua anak yang kini berusia 14 dan 17 tahun.
Nor Hafizah dan suaminya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluaran automotif, mengambil pendekatan yang praktikal dengan membahagikan tanggungjawab bersama menyimpan untuk anak-anak.
"Jadi suami saya simpan untuk anak pertama, saya pula anak kedua. Setiap tahun kami pastikan konsisten simpan sampai cecah RM8,000.
"Cara kami simpan pula tidak tetap pada satu-satu amaun. Kadang-kadang mungkin sebulan sekali masuk RM1,000 dan ada masanya sekali-sekala kami masukkan RM500," ujarnya.
Pernah diuji ketika berdepan tekanan kewangan semasa negara dilanda pandemik Covid-19, Nor Hafizah mengakui sukar untuk melakukan simpanan secara konsisten.
"Saya mula menyimpan betul-betul awal tahun 2020 sebelum Covid-19. Jadi bila berlaku pandemik, banyak perancangan kewangan keluarga agak terjejas.
"Tapi alhamdulillah waktu itu saya ada simpanan di institusi kewangan lain untuk anak-anak. Jadi apabila rasa gaji tak cukup bulan itu, saya akan ambil daripada institusi kewangan lain untuk masukkan di Simpan SSPN," tambahnya lagi.
Konsistensi dalam menyimpan akhirnya membuahkan hasil apabila Hafizah diumumkan sebagai salah seorang pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
Hadiah berupa wang tunai sebanyak RM20,000 itu bukan sahaja mengejutkan, malah disifatkan sebagai satu ganjaran atas komitmen yang ditunjukkan oleh pasangan ini.
Wang kemenangan tersebut disalurkan terus ke akaun Simpan SSPN kedua-dua anaknya sebagai satu langkah bijak yang mencerminkan betapa pentingnya kesinambungan dalam menyimpan untuk masa depan.
"Saya pun mula agak lewat. Tapi semakin lama kos pendidikan semakin meningkat, jadi perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak itu sangat penting.
"Lebih baik bermula seawal mungkin, terutama selepas kelahiran, supaya ada masa untuk membina dana pendidikan yang mencukupi.
"Dengan merancang lebih awal, kita juga dapat menghadapi kemungkinan di masa depan seperti kenaikan kos atau kesulitan mendapatkan pinjaman," ujarnya.
Dalam pada itu, PTPTN kini sedang menjalankan Kempen Cabutan WOW! Gong Xi Raya yang bermula dari 1 Januari lalu sehingga 30 April 2025 ini dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM200,000 menanti 130 pemenang.
Pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi myPTPTN.
Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
Setiap simpanan bersih RM100 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.
Maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.