DUA remaja perempuan mati lemas dalam terusan ketika mencuci pewarna (dye) pada rambut, dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu.
Menurut polis, mangsa masing-masing berusia 15 tahun dan 17 tahun.
Memetik laporan media tempatan, seorang saksi yang dikenali sebagai Noi, 17, berkata ketika kejadian, dia bersama-sama tiga rakan termasuk dua mangsa pergi ke terusan yang terletak di wilayah tengah Suphan Buri selepas mewarnakan rambut.
Ujarnya, secara tiba-tiba dua rakannya dibawa arus dan tenggelam dalam terusan yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter.
Dia bersama seorang lagi rakan bergegas mendapatkan bantuan penduduk setempat.
Unit penyelam pasukan penyelamat akhirnya berjaya menemukan jasad kedua-dua mangsa selepas lebih satu jam usaha pencarian dilakukan.
Mayat kedua-dua remaja itu dibawa ke Hospital U Thong untuk bedah siasat. -Agensi