SEORANG ibu tergamak membuang bayinya yang baru lahir hingga maut, hanya kerana untuk berseronok dengan rakan-rakan.
Insiden berkenaan terbongkar setelah gambar mayat bayi itu beserta laporan polis yang dikongsikan di media sosial sehingga tular.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika pesta Songkran di Bangkok, Thailand Isnin lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita melahirkan anaknya berdekatan tempat parkir kereta, sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Dia pada mulanya menafikan baru bersalin dengan mendakwa dirinya mengalami haid sebelum dibawa ke hospital akibat mengalami pendarahan yang teruk.
Pasukan penyelamat pula cuba menyelamatkan bayi malang itu yang ditemukan masih bernyawa di lokasi kejadian, namun tidak berjaya.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Don Mueang, Phuwadon Aoonpho memberitahu Channel 7 bahawa suspek dikenal pasti sebagai wanita berusia 27 tahun.
Wanita itu dilaporkan sudah mempunyai dua anak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan hasil perkahwinan bersama dua bekas suami.
Kedua-dua anaknya itu kini masing-masing dijaga oleh bekas suami.
Suspek pada awalnya mendakwa dirinya hanya datang bulan, namun akhirnya mengaku hamil kerana mengalami pendarahan yang berterusan.
Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Siasatan lanjut berhubung kes tersebut sedang dijalankan. -Agensi