suria

Buat kecoh di gerai, lelaki hampir hilang telinga kanan ‘dilibas’ bekas isteri

Petugas perubatan memberikan rawatan pertolongan cemas sebelum mangsa dihantar ke hospital berdekatan. -Foto PattayaNews

CEMBURU buta seorang lelaki bertukar tragedi apabila pergaduhan dengan bekas isteri berakhir dengan sebelah telinganya 'dicantas'.

Kejadian berlaku pada pukul 2.36 pagi Rabu, di hadapan gerai bebola daging milik wanita berkenaan di Pattaya, Thailand.

Menurut polis, hasil siasatan mendapati kejadian bermula apabila lelaki yang dikenali sebagai Adisak, 41, pergi ke gerai bekas isterinya, Uraiwan, dan mencetuskan kekecohan sebelum kedua-duanya bertengkar.

Menurut keterangan Uraiwan kepada polis, bekas suaminya datang ke gerai dalam keadaan mabuk.

"Dia mabuk dan cemburu. Saya menyuruhnya pulang ke rumah dan tidur, tetapi dia menampar saya. Saya hilang pertimbangan lalu terus melibas pisau ke arahnya. Namun, saya tidak berniat mencederakannya seteruk itu," kata wanita berusia 48 tahun itu.

Panik melihat bekas suaminya berlumuran darah, Uraiwan segera menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan. 

Ketika pasukan perubatan tiba, lelaki berkenaan sedang menekup telinga kanannya yang cedera.

Dia diberikan rawatan pertolongan cemas sebelum dikejarkan ke hospital kerajaan berdekatan.

Difahamkan, perkahwinan pasangan berkenaan sudah berakhir lebih lima tahun yang lalu, namun Adisak masih mengganggu bekas isterinya dan cemburu apabila wanita berkenaan bersembang dengan pelanggan lelaki.

Polis mengesahkan masih meneliti kamera litar tertutup (CCTV) dan menemu ramah saksi bagi mengenal pasti motif kejadian sebenar. -Agensi

Artikel Lain