suria

Restoran mewah cetus kontroversi, perkenal set menu dengan pencuci mulut tahi gajah berharga RM2,300

Serbuk najis gajah yang menjadi hidangan di sebuah restoran. -Foto South China Morning Post

SEBUAH restoran mewah mencetuskan kontroversi apabila menawarkan tahi gajah sebagai hidangan pencuci mulut kepada pelanggan.

Set menu itu menjanjikan pengalaman makan 'asli' bertemakan hutan hujan dengan menghidangkan daun pokok, bongkah ais bersalut madu dan pencuci mulut daripada najis gajah kering yang disterilkan.

Set yang merangkumi 15 jenis hidangan tidak termasuk minuman itu berharga 3,888 yuan (RM2,349). 

Sajian itu menampilkan tahi gajah berupa serbuk rangup, yang diletakkan minyak wangi herba, jem buah-buahan, debunga dan sorbet madu.

'Lawatan pencuci mulut' turut disediakan bagi membolehkan pelanggan memilih sendiri pewangi herba dan jem buah mengikut citarasa.

Seperti yang didakwa netizen sebagai 'lokasi eksperimen baharu', restoran yang terletak di Shanghai, China ini menyajikan hidangan luar biasa.

Pengasas restoran berasal daripada kumpulan etnik Blang di China dan Perancis  itu dikatakan menghabiskan masa tujuh tahun bagi mengkaji hutan hujan Yunnan sebelum tercetusnya konsep terbabit, seperti dilaporkan oleh Jiupai News.

Sementara itu, pada 7 April lalu, seorang blogger makanan dengan 400 ribu pengikut di RedNote berkongsi pengalamannya menerusi posting video, mempromosikan keunikan sajian di restoran itu.

Dia mendedahkan ritual makan berkonsepkan ‘masakan gabungan ekologi’ yang bermula dengan tetamu memetik daun secara langsung daripada tumbuhan, mencelupnya ke dalam sos kemudian dimakan secara mentah.

"Benar-benar menjijikkan dan menakutkan. Saya berasal dari Yunnan, tetapi kami semestinya tidak makan tahi gajah di sini," demikian antara komen netizen.

Selain itu, ada yang menyifatkan hidangan sebegitu menggambarkan suatu penghinaan besar kepada golongan kaya berdasarkan tanggapan mereka yang sanggup menjamah apa jua jenis makanan.

Undang-undang Kebersihan Makanan China mewajbkan penyediaan makanan bebas toksik, tidak berbahaya dan memenuhi standard piawaian pemakanan, namun ia kekal menjadi tanda tanya sama ada pencuci mulut diperbuat daripada tahi gajah meskipun telah menjalani pembasmian kuman, memenuhi kriteria tersebut. -Agensi

Artikel Lain