SEORANG wanita maut selepas didera dan ditikam oleh suaminya sendiri dalam satu kejadian tragis dipercayai kerana cemburu.
Mangsa, yang dikenali sebagai Mega, 30 meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam oleh suaminya, Juang, 36 dalam kejadian yang berlaku pada pada 5 Jun lalu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kampung Camba-camba, Batang, Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Ia disahkan pada Khamis oleh Ketua Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) Siasatan Jenayah Polis Jeneponto, Iptu Pamili.
Menurutnya, kejadian berpunca apabila Juang mengesyaki isterinya berlaku curang semasa dia bekerja di Makassar.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditahan tikam isteri hingga maut, serang mentua cuba campur tangan
“Suspek pulang ke rumah dan cuba memeriksa telefon bimbit isterinya, namun telefon itu dikunci menggunakan cap jari dan tidak dapat diakses. Keadaan itu menimbulkan kemarahan suspek,” kata Iptu Pamili.
Tambahnya, sebelum kejadian, Juang turut bertanyakan kepada anak mereka mengenai siapa yang sering menghubungi ibunya semasa ketiadaannya di rumah.
“Anaknya ada menyebut beberapa nama dan bermula pertengkaran yang akhirnya membawa kepada insiden tragis tersebut,” jelasnya.
Mangsa ditikam sebanyak lapan kali di seluruh badan dan sempat menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Juang kini ditahan di Pusat Tahanan Jeneponto Kelas 2B, dan pihak polis menamakannya sebagai suspek utama dalam kes berkenaan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan suspek telah dinamakan pada Rabu (11 Jun),” kata Iptu Pamili.
Kes ini disiasat di bawah jenayah keganasan rumah tangga yang membawa kepada kematian.-Agensi