SEORANG kanak-kanak perempuan dilaporkan tidak sedarkan diri dan berisiko mengalami kerosakan otak jangka panjang selepas tertelan lebih 10 biji gula-gula mengandungi ganja yang disangkakan sebagai snek, pada 2 Julai lalu.
Menurut laporan, bapa mangsa tampil memberi amaran kepada ibu bapa lain mengenai bahaya produk berasaskan ganja selepas anaknya berusia tiga dimasukkan ke hospital dua kali susulan kejadian tersebut.
Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu tinggal bersama bapa saudaranya dengan kejadian berlaku di utara Chiang Mai, Thailand.
Pada hari kejadian, pihak sekolah menghubungi bapa saudara mangsa selepas guru mendapati kanak-kanak itu tidak bermaya, kelihatan mengantuk serta tidak menunjukkan tenaga seperti biasa.
Mangsa dibawa ke hospital, namun doktor pada awalnya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar keadaan tersebut. Tidak lama kemudian, kanak-kanak itu pengsan dan ditahan di wad bagi rawatan lanjut.
Pada mulanya, pihak keluarga mengesyaki mangsa mungkin telah tertelan minuman beralkohol yang tertinggal selepas sambutan ulang tahun kelahiran bapa saudara pada malam sebelumnya.
Namun hasil siasatan mendapati seorang rakan telah secara tidak sengaja meninggalkan sebungkus gula-gula ganja di rumah.
Pemeriksaan mendapati hanya dua biji gula-gula tinggal dalam bungkusan tersebut, dan dipercayai kanak-kanak itu telah memakan lebih daripada 10 biji.
Bentuk gula-gula itu menyerupai beruang dan pembungkusannya mirip snek kanak-kanak.
Doktor kemudian mengesahkan kanak-kanak itu mengalami perubahan mendadak pada tahap kesedaran akibat keracunan ganja, serta dijangkiti sinus akut akibat pengambilan tersebut.
Walaupun dibenarkan keluar dari hospital pada hari yang sama, mangsa kembali mengalami halusinasi dan demam panas, menyebabkan keluarga membawanya semula ke hospital pada sebelah malam.
Bapa mangsa turut memfailkan laporan polis terhadap individu yang memiliki gula-gula tersebut di Balai Polis Hang Dong.
Beliau menuntut agar pihak berkenaan bertanggungjawab terhadap kejadian itu, selepas keluarga menanggung kos rawatan melebihi 50,000 baht (RM6,400) yang tidak dilindungi insurans kesihatan.
Pihak perubatan tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu mengalami kesan neurologi kekal, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depannya.
Kejadian ini turut mencetuskan desakan agar kerajaan Thailand mengetatkan kawalan terhadap produk berasaskan ganja, terutamanya yang mudah dikelirukan dengan makanan kanak-kanak. -Agensi