suria

[V] Lelaki ditahan selepas tinggalkan anak patung menakutkan di hentian bas

Anak patung tersebut rupanya diperbuat daripada lateks dengan campuran pewarna khas. -Foto Dark Seed Creations

SEORANG lelaki ditahan oleh pihak berkuasa selepas didakwa meninggalkan anak patung yang kelihatan seperti diperbuat daripada kulit manusia dengan kesan darah di sebuah hentian bas.

Dalam insiden pada 13 Julai itu, pasukan penyiasat telah dimaklumkan mengenai penemuan anak patung mengerikan itu dan melakukan siasatan.

Insiden menyeramkan itu berlaku di Victorville, yang terletak di Gurun Mojave, California di Amerika Syarikat.

“Penyiasat koroner tampil mengesahkan anak patung itu diperbuat daripada bahan buatan dan bukan tisu manusia,” kata kenyataan pihak berkuasa. 

Seorang pakar patologi forensik turut mengesahkan tiada unsur manusia ditemui pada anak patung tersebut.

Hasil siasatan lanjut mendapati anak patung berkenaan dijual di sebuah laman web dengan dakwaan ia diperbuat daripada kulit manusia.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa perbuatan suspek, iaitu Hector Corona Villanueva, 23, membazirkan masa.

“Kes seperti ini membuang masa pasukan kecemasan dan boleh menjejaskan keselamatan awam dengan melambatkan tindak balas kepada panggilan kecemasan sebenar,” kata Pejabat Sheriff.

Menurut Robert Kelly dari Dark Seed Creations [Tonton Video], dia mengaku sebagai pembuat anak patung beruang tersebut.

Dia turut mengesahkan kepada NBC News bahawa produk itu dijual melalui platform e-dagang Etsy kepada Villanueva yang tinggal di Victorville.

Anak patung tersebut mula dilaporkan kepada pihak berkuasa selepas dilihat oleh pelanggan dan kakitangan stesen minyak.

Kelly berkata dia telah menghasilkan berpuluh-puluh anak patung beruang seperti itu sejak dua dekad lalu dan hasil ciptaannya dikenali apabila gambar anak patung di Victorville tular.

Dia yang merupakan peminat tegar pengarah filem seram Clive Barker (Hellraiser), menjelaskan bahawa produk buatannya diperbuat daripada lateks, dengan campuran pewarna khas untuk meniru rupa kulit manusia sebenar.-Agensi

Artikel Lain