SEORANG ibu muda hampir menyebabkan jari anak perempuannya yang berusia 11 bulan dipotong, selepas bertindak membalut jari bayi itu dalam usaha untuk menghalang si kecil tersebut daripada menghisapnya.
Insiden itu berlaku pada 14 Julai lalu apabila wanita itu dan suaminya membawa bayi mereka, Lele, ke Hospital Kanak-Kanak Hunan, China.
Pasangan tersebut merujuk hospital setelah mendapati jari telunjuk bayi mereka bengkak dan berwarna kebiruan.
Menurut doktor yang merawat, Dr Luo Yuanyang, keadaan jari Lele sudah kritikal dengan sebahagian kulit dan tisu telah mati.
"Jika mereka membawa bayi itu lewat sedikit sahaja, kami mungkin terpaksa memotong jari tersebut," kata Dr Luo.
Ibu muda tersebut memberitahu bahawa dia membalut jari anaknya bagi menghalang bayi tersebut daripada menghisapnya kerana percaya tabiat tersebut tidak bersih dan boleh menjejaskan pertumbuhan gigi anak.
Dia turut memaklumkan bahawa tindakan berkenaan dilakukan selepas merujuk internet dan menyangka ia selamat jika tidak dibalut ketat.
Namun, dia dan suaminya panik apabila mendapati keadaan jari Lele menjadi semakin teruk pada keesokan pagi.
Doktor bertindak pantas merawat Lele dengan membuang tisu yang telah mati.
Menurut doktor, tisu baharu akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk tumbuh semula.
Kes tersebut mencetuskan peringatan tentang bahaya rawatan sendiri tanpa merujuk nasihat pakar, terutamanya melibatkan bayi dan kanak-kanak. -Agensi