SEORANG lelaki dipukul hingga mati oleh rakan sekerjanya di sebuah rumah ladang selepas enggan meminjamkan wang pada Sabtu.
Suspek berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pemandu kemudiannya ditahan oleh polis pada Ahad.
Menurut polis, kejadian berlaku di kawasan Palam, Delhi Selatan-Barat, India.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (Selatan), Ankit Chauhan berkata mangsa, Sita Ram, 42, yang bekerja sebagai pembantu tinggal bersendirian di ladang itu kerana pemiliknya berada di luar kawasan.
Kehilangan lelaki itu mula disedari apabila staf lain mendapati pintu utama rumah ladang berkenaan terbuka dan Sita Ram tidak kelihatan.
Selepas menerima laporan, pasukan polis menjalankan operasi pencarian dan menemukan mayat mangsa di dalam tangki septik di kawasan rumah ladang tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketagih Hello Kitty, anak kecil cuba bunuh bapa sebab tutup TV... Terkedu tak lama kemudian betul-betul meninggal
Pasukan forensik dan unit jenayah dipanggil ke lokasi kejadian dan mayat dihantar ke sebuah hospital untuk bedah siasat.
Pasukan penyiasat turut menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod telefon bimbit dan mengambil kenyataan daripada pekerja lain.
"Hasil siasatan mendapati suspek, Chandra Prakash iaitu pemandu kepada pemilik rumah ladang yang bekerja selama tujuh tahun, juga hilang dari lokasi kejadian.
"Melalui pemantauan teknikal dan maklumat dari sumber tempatan, polis berjaya mengesan lokasi Chandra Prakash di Palam, Delhi, dan menahannya,” kata pegawai tersebut.
Tambahnya, punca kejadian dipercayai selepas mangsa enggan meminjamkan wang sebanyak Rs10,000 (kira-kira RM560) kepada suspek.
Selepas disoal siasat, Chandra Prakash mengaku melakukan pembunuhan tersebut.-Agensi