BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi data Astronomer, Andy Byron sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Coldplay dan penganjur konsert susulan insiden yang melibatkan dirinya yang hadir ke acara itu di Foxborough, Massachusetts.
Kontroversi tercetus apabila Byron dan Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat yang sama, Kristin Cabot, dirakam menerusi paparan kiss cam ketika sedang bermesra di tengah-tengah puluhan ribu penonton lain.
Rakaman itu tersebar luas di media sosial dan menarik perhatian umum serta liputan meluas media antarabangsa.
Ketegangan bertambah apabila vokalis Coldplay, Chris Martin, semasa berucap kepada penonton, secara berseloroh mengusik pasangan itu dengan membuat tekaan mereka mungkin malu atau sedang menjalinkan hubungan sulit.
Kenyataan tersebut dianggap tidak sensitif dan memburukkan lagi keadaan.
Susulan insiden tersebut, Byron dan Cabot meletakkan jawatan mereka di Astronomer.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO Astronomer, Andy Byron akhirnya letak jawatan selepas kantoi curang di konsert Coldplay
ARTIKEL BERKAITAN: Chris Martin tak sengaja kantoikan pasangan curang di konsert Coldplay
Lembaga pengarah syarikat telah menjalankan siasatan dalaman dan melantik Ketua Pegawai Produk, Pete DeJoy sebagai CEO interim.
Menurut sumber, Byron kini sedang meneliti opsyen perundangan atas dakwaan tekanan emosi dan pencerobohan privasi.
Dia dikatakan tidak memberi persetujuan untuk dirakam atau dipermalukan secara terbuka, dan percaya kejadian itu memberi kesan besar kepada reputasi dan kerjaya profesionalnya.
Namun begitu, beberapa pakar undang-undang berpendapat bahawa peluang Byron untuk menang dalam tuntutan tersebut agak tipis.
Ini kerana acara seperti konsert secara umumnya dianggap ruang awam, di mana privasi sukar untuk ditegakkan.
Tambahan pula, untuk membuktikan kenyataan Chris Martin sebagai fitnah memerlukan bukti bahawa kenyataan itu adalah palsu dan dibuat dengan niat jahat, sesuatu yang sukar dibuktikan.
Insiden ini turut mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai hubungan di tempat kerja dan risiko pendedahan awam.
Walaupun percintaan di tempat kerja bukan perkara luar biasa, paparan umum seperti ini boleh memberi impak negatif kepada kerjaya individu terbabit.
Setakat ini, tindakan lanjut daripada Byron masih belum dipastikan. -Agensi