PERTIKAIAN harta pusaka antara dua beradik ini bukan sahaja mengheret mereka ke mahkamah, malah mendedahkan status peribadi masing-masing sebagai anak angkat.
Kes berprofil tinggi itu melibatkan perebutan harta warisan bernilai lebih 3 juta yuan (kira-kira RM1.95 juta).
Insiden berlaku di bandar Tianjin, utara China, selepas kematian Sun, bapa kedua-dua individu terbabit pada Mac 2025.
Menurut kenyataan yang ditinggalkan, Sun memindahkan pemilikan rumah bernilai jutaan yuan kepada anak lelakinya, sambil meminta agar pampasan munasabah diberikan kepada anak perempuannya yang juga anak angkat.
Namun wanita itu mencabar kesahihan pemindahan berkenaan atas alasan ia hanya ditandatangani oleh bapanya, manakala bahagian ibunya belum ditentukan.
Dia juga menegaskan bahawa rumah tersebut adalah milik ibu bapa mereka bersama.
Kedua-dua beradik itu dibesarkan bersama, yang mana wanita terbabit diambil sebagai anak angkat pada tahun 1966 manakala adiknya tujuh tahun kemudian.
Pertikaian yang dibawa ke Mahkamah Rakyat Daerah Nankai menjadi lebih rumit apabila wanita terbabit membentangkan dokumen baharu yang menunjukkan bahawa adik lelakinya juga didaftarkan sebagai anak angkat.
Pendedahan itu menyebabkan lelaki berkenaan beremosi dan terkesan di mahkamah.
Bagaimanapun, dia mempertahankan haknya ke atas rumah tersebut kerana mendakwa telah menjaga ibu bapa mereka seorang diri selepas wanita terbabit memutuskan hubungan sejak pertikaian keluarga pada 1990-an.
Hakim memutuskan bahawa status anak angkat tidak menjejaskan hak warisan di bawah Kanun Sivil China.
Namun, disebabkan rumah itu telah dipindahkan secara sah dan dinotari pada tahun 2007, ia tidak lagi dianggap sebagai sebahagian daripada harta pusaka.
Selepas tiga jam pengantaraan, kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai dengan rumah tersebut kekal milik anak lelaki, manakala kakaknya akan menerima pampasan sebanyak 550,000 yuan (kira-kira RM358,000). -Agensi