SEORANG wanita mendakwa gambar peribadi yang disimpan dalam telefon bimbitnya telah dicuri dan diedarkan tanpa kebenaran oleh pekerja sebuah kedai gajet.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pekerja terbabit selepas peranti miliknya dihantar untuk dibaiki.
Kejadian dipercayai berlaku pada malam Ahad di Studio 7 cawangan Central Phuket di Thailand.
Mangsa berusia 22 tahun itu tampil mendedahkan insiden berkenaan menerusi laman Facebook Rose to Universe, dalam usaha menuntut keadilan dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu keselamatan data peribadi.
Mangsa mendakwa, gambar miliknya telah dipindahkan ke telefon bimbit seorang kakitangan sebelum disebarkan melalui aplikasi Telegram.
Berkongsi cerita, ujar wanita ini, segalanya terbongkar selepas dia menemui seorang pengguna Tinder bernama Nam yang menyamar sebagai dirinya dengan menggunakan gambar-gambar peribadi berkenaan.
Menyedari bahawa setiap gambar tersebut tidak pernah dikongsikan di mana-mana platform media sosial, dia kemudiannya kembali ke kedai gajet berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.
Susulan siasatan yang dilakukan, dia mendapati gambarnya telah dipindahkan melalui fungsi AirDrop ke telefon peribadi salah seorang pekerja, dikenali sebagai Siwasan Thanyakan.
Rakaman CCTV turut menunjukkan lima lagi pekerja lain dipercayai terlibat, termasuk seorang individu yang dilihat mengendalikan dua telefon serentak di meja servis ketika kejadian.
Mangsa kini menuntut siasatan menyeluruh dan tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab atas pelanggaran privasi tersebut. -Agensi