suria

Penemuan rangka manusia lengkap berpakaian cetus tanda tanya, polis fokus 3 kemungkinan

Beg putih turut ditemui berhampiran rangka manusia berkenaan.

PEMUNGUT hasil hutan terkejut apabila menemui rangka manusia ketika sedang mencari cendawan di kawasan hutan.

Dia kemudiannya memaklumkan penemuan tersebut kepada ketua masyarakat menerusi aplikasi LINE sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan.

Penemuan itu berlaku pada 28 Julai lalu di sebuah kawasan hutan berhampiran komuniti Ban Dong Keng, di Thailand.

Menurut laporan agensi Ban Mueang, rangka tersebut dipercayai milik seorang wanita berusia antara 40 hingga 50 tahun dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter. 

Mangsa ditemui memakai kemeja-T yang tertera nama jenama alkohol dan seluar jeans biru tua.

Turut ditemui berhampiran ialah beg kulit putih serta sebilah pisau berkarat, namun coli dan seluar dalam mangsa didapati hilang.

Pihak berkuasa juga tidak menjumpai dokumen pengenalan diri mangsa.

Rangka tersebut dihantar ke Hospital Udon Thani untuk bedah siasat lanjut. 

Pihak berkuasa kini mempertimbangkan tiga kemungkinan punca kematian iaitu rogol dan bunuh, kemalangan yang cuba disembunyikan, atau penderaan yang membawa kepada kematian.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Lay, 60 tahun, memaklumkan bahawa beliau pernah mengunjungi kawasan tersebut dua tahun lalu tetapi tidak pernah melihat sebarang aktiviti mencurigakan atau sesiapa yang tidak dikenali di sekitar kampung mereka. - Agensi

Artikel Lain