SEORANG pengawal keselamatan berusia 50 tahun meninggal dunia ketika berada di tempat kerja, namun majikannya menolak untuk membayar pampasan kepada keluarganya kerana mendakwa ia bukan kemalangan ketika waktu kerja.
Menurut laporan media, mangsa yang dikenali sebagai Zhou bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di bandar Xi'an, wilayah Shaanxi, timur laut China.
Dalam kejadian pada 15 Julai lalu, Zhou dilaporkan tiba di tempat kerja sejam lebih awal, sekitar pukul 7.00 pagi, untuk memulakan syif paginya.
Selepas bersarapan di bilik keselamatan, Zhou tiba-tiba rebah dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Sijil kematian menyatakan punca kematian adalah serangan jantung.
Menurut anak perempuan Zhou, suhu pada hari kejadian mencecah 33 darjah Celsius dengan bilik keselamatan tempat ayahnya bekerja dan asrama tempat tinggalnya tidak dilengkapi dengan penghawa dingin, meskipun dalam cuaca panas melampau.
Lebih memburukkan keadaan, asrama tersebut hanya bersaiz kurang daripada 200 meter persegi dan menempatkan 20 orang pekerja, dengan keadaan sanitasi yang lemah dan pencahayaan yang malap.
Keluarga Zhou mendakwa mendiang berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian dan percaya kematiannya akibat cuaca panas sewajarnya diklasifikasikan sebagai kemalangan industri.
Namun begitu, pihak majikan bertegas bahawa Zhou tiba di tempat kerja di luar waktu bertugas, justeru mereka enggan mengklasifikasikan kematiannya sebagai berkaitan kerja.
Sebaliknya, mereka hanya menawarkan 'sumbangan kemanusiaan' kepada keluarga mangsa.
Majikan Zhou juga menegaskan bahawa sekiranya pihak berkuasa tempatan mengiktiraf kematian itu sebagai kemalangan kerja, syarikat akan bertanggungjawab sepenuhnya.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial China, yang mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan syarikat tersebut dan menuntut keadilan untuk keluarga mangsa. -Agensi