suria

Ajaib! Budak tiga tahun terselamat selepas jatuh dari tingkat 18... Pokok jadi ‘pelindung’

Mangsa selamat meskipun terjatuh dari tingkat 18 sebuah pangsapuri. -Foto South China Morning Post

SEORANG kanak-kanak lelaki terselamat setelah terjatuh dari tingkat 18 sebuah kompleks pangsapuri.

Difikirkan sudah tertidur, dia ditinggalkan berseorangan oleh datuk dan neneknya yang keluar untuk ke kedai.

Bagaimanapun pasangan warga emas itu mengunci pintu rumah atas faktor keselamatan.

Namun siapa sangka, kanak-kanak berusia tiga tahun itu berhasil memanjat tandas sebelum tercampak keluar dari tingkap yang tidak mempunyai penghadang keselamatan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada15 Julai lalu di Hangzhou, wilayah Zhejiang, China.

Insiden itu tular di laman sosial baru-baru ini, menerusi klip video yang dimuat naik oleh penduduk setempat.

Bunga merah menjadi simbolik penghormatan dan keraian menurut tradisi Cina. -Foto South China Morning Post

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Zhu dilihat seakan sukar percaya dengan takdir yang ternyata 'berpihak' kepada anaknya.

"Saya tidak percaya dia terjatuh dari tingkat 18, sehinggalah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan segalanya,"ujarnya.

Dia menjelaskan bahawa semasa jatuh, anaknya mungkin 'terkena' tingkap yang terbuka di tingkat 17, yang menyebabkan arah jatuhnya sedikit berubah.

Ia menyebabkan kanak-kanak itu jatuh tepat ke atas sebatang pokok, yang bertindak sebagai 'pelindung' dan menyerap hentakan sebelum terjatuh ke tanah.

"Kalau tidak, anak saya pasti terus terjatuh ke lantai konkrit," kata Zhu.

Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami patah lengan kiri, kecederaan pada tulang belakang serta kerosakan organ dalaman, namun sama sekali tidak menjejaskan kawasan kepalanya.

Menzahirkan rasa syukur, Zhu mengabadikan sekuntum bunga besar berwarna merah pada pokok tersebut sebagai simbolik penghormatan dan keraian menurut tradisi Cina. -Agensi

 

Artikel Lain