suria

Lelaki hubungi polis selepas kelar, tikam isteri hamil 7 bulan hingga maut

Reman terhadap suspek dilakukan bagi membantu siasatan. -Gambar hiasan

SEORANG wanita yang sedang hamil tujuh bulan maut selepas ditikam berulang kali oleh suaminya dalam kejadian mengerikan yang berlaku pada pagi Sabtu.

Mangsa yang dikenali sebagai Sapna, dipercayai dibunuh dalam sebuah bilik berkunci oleh suaminya, Ravi Shankar, yang kemudian menghubungi polis dan menyerah diri di lokasi kejadian.

Menurut pihak berkuasa, mangsa menumpang di rumah kakaknya di Amhera, dekat Uttar Pradesh, India, sejak lima bulan lalu akibat konflik rumah tangga yang berpanjangan. 

Pada pagi kejadian, suspek dikatakan datang ke rumah tersebut dan meminta untuk berbincang secara peribadi dengan mangsa. 

Suspek membawa mangsa ke sebuah bilik di tingkat atas sebelum menguncinya dari dalam. 

Tidak lama selepas itu, jeritan kuat kedengaran dari bilik tersebut, mengejutkan ahli keluarga dan jiran.

Ahli keluarga mangsa cuba masuk campur namun tidak berjaya kerana pintu dikunci dari dalam.

Polis yang tiba tidak lama kemudian memecahkan pintu tersebut dan mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah, manakala suspek berada di sebelahnya dan tidak melawan ketika ditahan.

Hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan meninggal dunia akibat dikelar di leher dan ditikam bertulang kali.

Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan. -Agensi

Artikel Lain