suria

[V] Sempat berehat dan minum air sebelum rebah, lelaki meninggal dunia ketika bersenam di gim

Rakaman CCTV di gimnasium memaparkan Milind (dalam) bulatan rebah sejurus selepas minum air. -Foto Indiatoday

SEORANG lelaki berusia 37 tahun meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika bersenam di sebuah gimnasium, dalam kejadian pada pagi Jumaat.

Menerusi rakaman video [Tonton Video] kamera litar keselamatan (CCTV) di gimnasium, mangsa, Milind Kulkarni, dilaporkan sedang melakukan rutin senamannya seperti biasa di Gim Nitro, Chinchwad, dekat Pune, India sekitar pukul 7 pagi sebelum dia berehat seketika dan minum sedikit air. 

Tidak lama selepas itu, dia mengadu pening lalu rebah di lantai gim.

Kakitangan dan pengunjung gim yang berada di lokasi segera memberikan bantuan dan menghantarnya ke sebuah hospital swasta berdekatan.

Namun, doktor mengesahkan bahawa Milind telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Menurut pegawai kanan polis, Ankur Bangar, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu. 

"Kami percaya kematian mungkin berpunca daripada serangan jantung, namun siasatan masih diteruskan," katanya.

Buat masa ini, punca sebenar kematian masih belum disahkan secara rasmi dan proses bedah siasat sedang dijalankan.

Pihak pengurusan Gim Nitro masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun beberapa kakitangan meluahkan rasa terkejut dan sedih dengan insiden yang berlaku. -Agensi

Artikel Lain