suria

Lipas merayap dalam pesawat, kru kabin tukar tempat duduk penumpang

Air India mengambil langkah pembersihan menyeluruh bagi membasmi masalah serangga. -Gambar hiasan

DUA penumpang pesawat Air India berdepan pengalaman tidak menyenangkan apabila terlihat beberapa ekor lipas kecil merayap berhampiran tempat duduk.

Situasi itu berlaku semasa mereka dalam penerbangan AI180 dari San Francisco ke Mumbai, melalui Kolkata.

Menurut jurucakap Air India, kru kabin segera memindahkan penumpang terjejas ke tempat duduk lain dalam kabin yang sama bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang penerbangan. 

Insiden yang berlaku juga berjaya ditangani tanpa menjejaskan penumpang lain yang berada dalam pesawat berkenaan.

Malah kerja pembersihan menyeluruh dan membasmi serangga dilakukan kakitangan darat semasa pesawat singgah untuk pengisian minyak di Kolkata.

Penerbangan juga diteruskan ke Mumbai tanpa sebarang kelewatan.

Menjelaskan mengenai insiden yang berlaku, Air India berkata, proses penyahserangga dilakukan secara berkala namun haiwan kecil seperti lipas masih boleh memasuki pesawat ketika ia berada di darat. 

Bagaimanapun, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan memperketat langkah pencegahan pada masa akan datang.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh penumpang,” tambah jurucakap itu. -Agensi

Artikel Lain