LETUSAN Gunung Berapi Krasheninnikov di Kamchatka, Rusia yang berlaku pada malam Ahad merupakan yang pertama dalam tempoh 600 tahun.
Letusan itu turut dikaitkan dengan gempa bumi besar yang melanda Rusia minggu lalu, lapor agensi berita kerajaan RIA dan para saintis pada Ahad.
“Ini adalah letusan pertama Gunung Berapi Krasheninnikov yang disahkan secara sejarah dalam 600 tahun,” kata Olga Girina, ketua Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka.
Dalam saluran Telegram Institut Vulkanologi dan Seismologi, Girina berkata aliran lava terakhir Krasheninnikov berlaku sekitar tahun 1463.
ARTIKEL BERKAITAN: Rusia dilanda gempa bumi, Jepun keluar amaran tsunami... Gelombang pertama setinggi 30cm tiba di timur Hokkaido
Sementara itu, Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Rusia berkata kepulan abu setinggi 6,000 meter direkodkan susulan letusan itu.
Gunung berapi tersebut mempunyai ketinggian 1,856 meter.
“Kepulan abu bergerak ke arah timur, menuju ke Lautan Pasifik. Tiada kawasan berpenduduk di sepanjang laluannya,” kata kementerian itu di Telegram.
Letusan gunung berapi ini diletakkan dalam kod penerbangan jingga, yang menunjukkan risiko tinggi terhadap pesawat, menurut kementerian tersebut.