suria

Dokumen data peribadi dijadikan pembungkus makanan, hospital swasta didenda RM160,000

Dokumen peribadi yang dijadikan bungkusan makanan.

SEBUAH hospital swasta besar di Thailand dikenakan denda sebanyak 1.21 juta baht (kira-kira RM160,000) selepas didapati menggunakan dokumen perubatan pesakit sebagai pembungkus makanan ringan.

Menurut Jawatankuasa Perlindungan Data Peribadi Thailand (PDPC), siasatan mendapati lebih 1,000 dokumen sensitif telah dihantar ke lokasi yang salah dan sepatutnya dilupuskan secara selamat.

Insiden itu menjadi salah satu daripada lima pelanggaran data utama yang diumumkan PDPC pada Jumaat.

Walaupun hospital berkenaan tidak dinamakan, ia dilaporkan sebagai sebuah fasiliti swasta utama.

Kertas yang mengandungi maklumat peribadi itu dikatakan digunakan sebagai pembungkus makanan jalanan seperti Tokyo Khanom. 

Hospital tersebut sebelum ini menyerahkan tugas pelupusan dokumen kepada sebuah perniagaan kecil, namun gagal memantau proses berkenaan.

Pemilik syarikat pemusnahan dokumen turut didenda sebanyak 16,940 baht (sekitar RM2,200) selepas mengakui kesilapan kerana menyimpan dokumen itu di rumah sehingga berlaku kebocoran.

Dalam perkembangan berkaitan, PDPC turut mendedahkan kes lain membabitkan sebuah agensi kerajaan yang membocorkan data lebih 200,000 warga Thailand selepas sistemnya digodam. 

Data tersebut dilaporkan dijual di web gelap, dan agensi terbabit bersama kontraktornya didenda lebih 153,000 baht.

Tiga lagi kes turut melibatkan syarikat runcit dan pengedar dalam talian, membuktikan isu kebocoran data peribadi semakin membimbangkan di Thailand. -Agensi

Artikel Lain