suria

Nak elak bazir, restoran guna sisa air titisan ‘aircond’ rendam bahan masakan

Penyediaan bahan makanan yang kotor oleh sebuah premis tular menerusi rakaman video. -Foto Sing Tao Daily

SEBUAH restoran didakwa menggunakan air titisan dari penyaman udara untuk proses rendaman bahan masakan.

Kegiatan itu mula terbongkar susulan video tular yang dikongsi seorang netizen pada 30 Julai lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Lianyungang, wilayah Jiangsu, China.

Menerusi rakaman itu, sebatang paip plastik yang mengalirkan air secara terus dari penyaman udara dilihat berada dalam baldi rendaman berisi cendawan dan mi.

Biro Kawalan Pasar Lianyungang berkata, pada awalnya restoran terbabit menggunakan air paip untuk merendam bahan masakan berkenaan.

Namun kemudiannya, mereka menambahkan sisa air penyaman udara ke dalam bekas yang sama.

Premis itu dikenal pasti memiliki persijilan restoran kecil serta permit pengendalian makanan yang hanya beroperasi menerusi platform penghantaran makanan tanpa servis dine-in.

"Sejak bila kegiatan itu berlangsung masih belum dapat dipastikan," tambahnya.

Susulan itu, pihak berkuasa merampas kesemua bahan makanan untuk pemeriksaan lanjut.

Restoran itu diarah menutupkan operasi serta-merta sehingga ke tarikh yang akan diumumkan. -Agensi

Artikel Lain