suria

Dipaksa telan 20 biji ubat, selalu dipukul... Pelajar sekolah pondok buka cerita kepada bapa, dakwa kena buli sejak awal tahun

Mangsa buli lazimnya akan mengalami trauma untuk jangka masa panjang. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar berusia 13 tahun mendakwa menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi ketika menuntut di sebuah sekolah pondok (pesantren), sejak Januari lalu. 

Mangsa yang dikenali sebagai AF, pelajar sekolah pondok yang terletak di Cikidang, Kabupaten Sukabumi, Indonesia itu turut mendakwa telah dipaksa menelan berpuluh-puluh biji ubat preskripsi oleh rakan-rakan.

Menurut bapa mangsa, dia menerima mesej daripada anaknya pada 5 Julai lalu, memohon untuk pulang kerana tidak tahan didera.

"Anak saya pinjam telefon rakannya untuk hubungi kami. Dia kata tak tahan didera," katanya.

Lelaki itu berkata, anaknya mendakwa diberi makan ubat penahan sakit, ubat demam, batuk dan selesema secara paksa oleh rakan sebelum solat Maghrib. 

Ubat-ubat itu dibeli dari kedai dan anaknya dipaksa menelan sekitar 20 biji ubat hingga menyebabkannya tertidur dan sukar bangun.

Mangsa juga mendedahkan dia pernah dipukul dengan buku dan dicederakan menggunakan arang panas.

Bapa mangsa cuba berunding dengan keluarga pelaku dan pihak sekolah pondok, namun pampasan tidak diberikan dan pelaku masih berada di sekolah berkenaan. 

"Anak saya dah trauma. Macam mana nak hantar dia semula kalau pelaku pun masih ada?" ujarnya.

Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 30 Julai lalu.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sukabumi, Inspektor Pertama Hartono mengesahkan laporan tersebut dan memaklumkan bahawa kes kini dalam siasatan. -Agensi

 

Artikel Lain