MOMEN manis dan romantik seorang wanita dilamar di ruang udara berakhir tragedi apabila pesawat dinaikinya menjunam dan terhempas.
Lebih memilukan apabila insiden tersebut berlaku sejurus dia memberi jawapan 'setuju' kepada teman lelakinya yang berada di bawah menerusi alat komunikasi.
Kejadian berhampiran lapangan terbang Kelaynak di daerah Özler di daerah Yereyl, Turkiye itu mengakibatkan mangsa Şeyda Doğan mengalami kecederaan parah.
Turut sama dalam pesawat berkenaan adalah juruterbang berusia 39 tahun, Burak Yürekli.
Kedua-duanya dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah dan masih menerima rawatan.
Memetik laporan media tempatan, kejadian itu berlaku sekitar pukul 7.20 malam, Selasa.
Sebelum kejadian, pesawat latihan kecil 'Ultra Light' milik syarikat penerbangan swasta berkenaan didapati hilang kawalan sebelum mendarat dan terhempas.
Berdasarkan rakaman video yang diambil di tempat kejadian, seorang lelaki yang memakai baju kemeja dilihat berdiri di atas tarmac sambil menggunakan walkie-talkie untuk berkomunikasi dengan teman wanitanya yang berada di dalam pesawat.
Semasa kapal terbang berada di udara, dia kemudiannya bertanya... sudikah awak berkahwin dengan saya?.
Sejurus mangsa menjawab "setuju", pesawat tiba-tiba hilang kawalan dan terhempas.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa tentera tempatan melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada kemalangan itu berpunca daripada kegagalan mekanikal atau kesilapan juruterbang. -Agensi