TINDAKAN seorang lelaki yang mahu memeriksa senapang angin miliknya bertukar tragedi apabila tembakannya terkena jiran sendiri.
Sewaktu kejadian yang berlaku pada 27 Julai lalu, mangsa, Evi Salim sedang mengambil wuduk di pekarangan rumahnya yang terletak di Luwu, Sulawesi Selatan, untuk menunaikan solat Asar.
"Terkejut dengan bunyi letupan yang mengenai betisnya, wanita itu langsung menjerit meminta tolong," menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Luwu, Inspektor Yakobus Rimpung.
Ujarnya, suspek yang dikenali sebagai Syarif, 31, segera melarikan diri dari lokasi selepas menyedari kejadian tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/09/20/empat-beradik-senapang-angin?itm_source=parsely-api
"Pelaku melarikan diri menaiki motosikal dan berusaha dikejar penduduk setempat, namun tidak berjaya," ujarnya lagi.
Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap di kediamannya pada Isnin lalu, hasil rundingan bersama ahli keluarga.
Hasil siasatan mendapati tindakan suspek tidak bermotifkan dendam, sebaliknya hanya berniat menguji senapang angin yang baru sahaja dibaiki.
Pihak polis kini sedang giat mencari senapang angin jenis PCP yang digunakan sewaktu kejadian.
"Suspek disyaki membuang senjata miliknya ke Sungai Cilallang di Kampung Turunan Datu, daerah Kamanre," tambah Yakobus. -Agensi