suria

Remaja ditemukan maut dalam bilik, wajah dibungkus plastik

Pelajar itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

SEORANG pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah dengan wajah dibungkus menggunakan plastik di dalam biliknya.

Pihak polis mengesahkan tiada unsur jenayah atau kecederaan pada tubuh mangsa, dan darah yang kelihatan dipercayai berpunca daripada salur darah pecah di bahagian telinga.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Jalan Veteran, Simalungun, Sumatera Utara, pada Rabu.

Menurut polis, mangsa dikenali sebagai F dipercayai berasal daripada keluarga bermasalah selepas ibu bapanya berpisah.  

Difahamkan, mangsa ditinggalkan bersendirian apabila ibunya pergi ke rumah kakaknya di Berastagi.

Mangsa kali terakhir dilihat dalam keadaan sihat pada Isnin sebelum gagal dihubungi ibunya sehari (Selasa) selepas itu.

Ibu mangsa meminta bapa saudaranya untuk menjenguk mangsa di rumah namun tiada respons daripadanya ketika dipanggil.

Mereka kemudian meminta bantuan polis untuk memecah masuk ke bilik berkunci dari dalam sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Djasamen Saragih untuk proses bedah siasat.

Polis turut mengambil peranti elektronik milik mangsa selain memanggil beberapa saksi untuk melakukan siasatan lanjut. -Agensi

Artikel Lain