SEORANG wanita lewat 50-an dibicarakan atas tuduhan membunuh 11 suami dalam tempoh lebih 20 tahun untuk menuntut harta pusaka dan bayaran mahar.
Tertuduh, Kolsoum Akbari didakwa menggunakan campuran ubat kencing manis, ubat tenaga batin dan alkohol industri untuk meracun suami-suaminya secara perlahan.
Dalam satu kes, wanita berasal dari Iran itu membunuh suaminya sebelum ini dengan menekup mangsa menggunakan tuala lembap selepas mangsa pengsan akibat dadah.
Kes mula terbongkar pada 2023 selepas kematian suami terakhirnya, Azizollah Babaei disusuli laporan seorang mangsa yang terselamat daripada cubaan diracun.
Akbari pada awalnya menafikan tuduhan, namun akhirnya membuat pengakuan bersalah selepas pihak pendakwa membentangkan rakaman dirinya melakonkan semula pembunuhan semasa siasatan.
Setakat ini, seramai 45 individu termasuk ahli keluarga mangsa, tampil sebagai plaintif dalam kes tersebut.
Empat keluarga mangsa turut menuntut agar hukuman mati dikenakan terhadap Akbari.
Mahkamah akan membuat keputusan selepas semua keterangan dikemukakan. -al-Arabiya