NIAT seorang pemuda yang mahu merakam foto matahari terbenam bertukar tragedi apabila dia maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian Khamis lalu.
Ia berlaku ketika Hsieh, 20, memanjat sebuah pencawang elektrik berketinggian tujuh tingkat di puncak Gunung Datong, Shulin, Taiwan.
Menurut seorang saksi, dia melihat mangsa asyik merakam gambar menggunakan telefon bimbit sambil berdiri di atas pencawang itu.
Mangsa kemudian tidak sengaja menyentuh wayar bervoltan tinggi yang mengakibatkan letupan sebelum dia terjatuh ke tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Letupan itu turut menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebahagian kawasan hutan di puncak gunung berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Indah senja ciptaan-Nya... Benarkah tak digalakkan tengok sunset? Ini penjelasan dari sudut agama
Dalam pada itu, kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Shang segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
Polis menerima aduan sekitar pukul 6.30 petang sebelum mengarahkan pasukan penyelamat membawa kira-kira 20 kenderaan serta 55 orang anggota bertugas.
Kebakaran berhampiran pencawang itu bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 8.30 malam.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Jantung mangsa disahkan terhenti akibat renjatan dan siasatan masih lagi dijalankan. -Agensi