suria

Kantoi curi pakaian dalam wanita, konstabel polis dipenjara empat bulan

Rakaman video memaparkan Zielinski mengambil pakaian dalam dan memasukkannya ke dalam poket seluar.

SEORANG anggota polis berpangkat konstabel dihukum penjara selama empat bulan selepas mengaku bersalah kerana mencuri sepasang pakaian dalam seorang wanita.

Pengakuan itu direkodkan ketika tertuduh Marcin Zielinski hadir di mahkamah pada 4 Ogos lalu.

Terdahulu, pemuda berusia 27 tahun itu, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 12 September 2024 sejajar rakaman video dari kamera tersembunyi di rumah mangsa di Cambridge.

Pada masa itu, Zielinski sedang menjalankan pemeriksaan di bawah Seksyen 32 di rumah berkenaan.

Berdasarkan klip rakaman, bekas anggota polis itu didapati menyelongkar barang-barang mangsa, sebelum dia secara senyap-senyap mengambil sepasang pakaian dalam dari laci dan menyimpannya ke dalam poket seluar.

Dia kemudian dilihat meninggalkan bilik berkenaan tanpa meletakkan semula pakaian dalam tersebut.

Tindakan itu membuatkan Zielinski dikritik hebat oleh pasukannya kerana didapati menyalahgunakan kuasa dan keistimewaan polis sebagai seorang konstabel.

Malah wanita terbabit yang kononnya ditangkap, telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut diambil.

Zielinski kemudiannya meletak jawatan daripada pasukan pada November 2024 ketika masih dalam siasatan.

Ketua Penolong Konstabel Hertfordshire Genna Telfer berkata, Zielinski telah mengecewakan orang ramai di Hertfordshire, perkhidmatan polis secara keseluruhan dan bekas rakan sekerjanya, yang bertindak dengan profesionalisme dan integriti.

"Tingkah laku jenayahnya merosakkan reputasi kepolisan dan mewakili pengkhianatan asas kepada orang ramai dan nilai yang menjadi pegangan perkhidmatan polis," tegasnya. -Agensi

Artikel Lain

Ardell Aryana juga ditahan Israel